Ketua jurulatih Paris Saint Germain, Mauricio Pochettino gembira catat kemenangan pertama apabila mengatasi Brest di Parc des Princes. - Foto EPA
PARIS: Mauricio Pochettino meraikan kemenangan pertama sebagai jurulatih Paris Saint-Germain pada penampilan sulung di laman sendiri ketika Moise Kean memulakan rentak buat juara bertahan itu menewaskan Brest 3-0 namun Lyon kekal di persada Ligue 1 selepas seri di Rennes.
Pemain gantian Mauro Icardi dan Pablo Sarabia menambah gol pada lewat permainan buat PSG yang akan ke persada liga berdasarkan perbezaan gol sekiranya Lyon tidak mampu bangkit selepas ketinggalan 2-0 sebelum menyamakan kedudukan untuk satu mata di Rennes seterusnya melebarkan rekod tanpa kelah kepada 16 perlawanan.
PSG kedua pada pertengahan musim liga, satu mata di belakang dan di depan Lille berdasarkan gol yang menang 1-0 di Nimes.
Ketika Neymar masih tidak bermain, ia bukanlah persembahan terbaik PSG di Paris dengan penonton dilarang ke perlawanan berikutan COVID-19.
Pengendali dari Argentina itu pastinya lega mencipta kemenangan sulung berikutan perlawanan pertamanya berkesudahan seri 1-1 di Saint-Etienne pada pertengahan minggu.
"Kami hanya sempat berlatih bersama beberapa hari dan melalui dua perlawanan yang sangat sukar, sangat kompetitif," kata Pochettino.
"Saya sangat berpuas hati dengan usaha ditunjukkan pemain. Ia persembahan yang meningkat dan kemenangan penting." |