Akan berusia 54 tahun bulan depan seterusnya melebarkan rekodnya sebagai pemain bola sepak profesional paling tua di Jepun.
TOKYO: Penyerang veteran, Kazuyoshi Miura, yang akan berusia 54 tahun bulan depan, memperbaharui kontraknya bersama Yokohama FC hari ini – melebarkan rekodnya sebagai pemain bola sepak profesional paling tua di Jepun.
Ia bermakna Miura, yang lebih dikenali sebagai "King Kazu" kerana semangat tingginya di padang, akan memulakan musim ke-36 dalam kariernya tahun ini.
"Musim lalu saya berasa keseronokan bermain bola sepak ketika dunia melalui cabaran sukar kerana COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.
"Secara peribadi ia bukanlah musim yang memuaskan, tapi cita-cita dan keghairahan saya terhadap bola sepak semakin bertambah," katanya.
"Saya akan bekerja keras setiap hari, mensasarkan untuk membantu kemenangan pasukan musim ini dengan bermain sebanyak mungkin."
Dia bermain empat perlawanan untuk kelabnya musim lalu, menjadi pemain tertua dalam sejarah divisyen utama J-League pada usia 53 tahun sembilan bulan. |