![](https://img-s-msn-com.akamaized.net/tenant/amp/entityid/BB1cVZgs.img?h=746&w=1119&m=6&q=60&o=f&l=f&x=599&y=164)
Edinson Cavani (kiri) dan Paul Pogba mencetus kebangkitan Manchester United dalam kemenangan Liga Perdana Inggeris ke atas Fulham di Craven Cottage. - Foto AFP
Berita Harian
LONDON: Paul Pogba muncul wira Manchester United ketika bangkit menewaskan Fulham 2-1 dan merampas kembali takhta Liga Perdana Inggeris daripada pendahulu seketika, Manchester City.
Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer memulakan perlawanan di tangga ketiga selepas kedudukan di puncak liga dua kali berubah dalam tempoh 24 jam.
United - yang cemerlang dalam aksi liga di tempat lawan - sekali lagi terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk merakam kemenangan.
Ademola Lookman menghukum pelawat di awal permainan sebelum Edinson Cavani kembali menyamakan kedudukan.
Pogba - yang kembali membarisi kesebelasan utama - meletakkan United di depan dengan sepakan lencong di babak kedua.
Persaingan di puncak Liga Perdana semakin hangat, dengan hanya lapan mata memisahkan United daripada West Ham yang berada di tangga ketujuh.
United sedar mereka perlu mengutip mata penuh selepas City menewaskan Aston Villa 2-0 dan memintas Leicester sebelum perlawanan di Fulham.
Fulham pula kini berada di tangga ketiga tercorot liga, empat mata di belakang Burnley. |