Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski (kiri) menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika menewaskan Hoffenheim di Munich. - AFP
Berita Harian
BERLIN: Bayern Munich kekal dengan jurang tujuh mata di persada Bundesliga selepas kemenangan 4-1 mengatasi Hoffenheim awal pagi tadi dengan Robert Lewandowski terus menambah jaringan ke-24 dalam liga musim ini.
Lewandowski meledak buat kali kesembilan berturut-turut dalam saingan Bundesliga manakala Jerome Boateng, Thomas Mueller dan Serge Gnabry juga menemui sasaran di Allianz Arena.
"4-1 ialah keputusan yang sangat bagus buat kami. Kami menang empat perlawanan terakhir kami - itu kayu pengukur kami," kata ketua jurulatih, Hansi Flick dengan pasukannya kembali bangkit selepas dua kekalahan berturut-turut dalam liga dan perebutan piala awal bulan ini.
Juara Eropah itu membalas dendam dengan sempurna terhadap kekalahan tunggal mereka pada 2020 dengan jaringan sama 4-1 di Hoffenheim September lalu.
Pasukan tangga kedua, RB Leipzig terus mengejar Bayern selepas Christopher Nkunku menajaringkan gol tunggal ketika menang tipis 1-0 di laman sendiri berdepan Bayer Leverkusen.
Skuad kendalian Peter Bosz, Leverkusen jatuh ke tangga keempat selepas kekalahan ketiga dalam tempoh dua minggu.
Eintracht Frankfurt ke kedudukan ketiga selepas penyerang Portugal, Andre Silva meledak dua gol seterusnya melebarkan jaringannya kepada 16 gol musim ini selepas menang 3-1 mengatasi Hertha Berlin. |