Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku menjaringkan gol ketika berdepan Benevento dekat Milan. - AFP
Berita Harian
MILAN: Romelu Lukaku meledak dua gol pada babak kedua ketika Inter Milan terus memberi tekanan kepada pendahulu Serie A, AC Milan dengan kemenangan 4-0 mengatasi Benevento pagi tadi.
Skuad kendalian Antonio Conte, Inter kini dua mata di belakang pencabar utama itu yang menewaskan Bologna 2-1 pada perlawanan awal.
Gol sendiri Riccardo Improta meletakkan tuan rumah di depan berdepan pasukan tangga ke-11 Benevento di San Siro.
Lautaro Martinez menjaringkan gol kedua 12 minit selepas rehat sebelum Lukaku menambah dua lagi gol.
Juara bertahan Juventus mara ke tangga ketiga, tujuh mata di belakang bersama satu perlawanan dalam tangan selepas menang 2-0 mengatasi Sampdoria.
Milan bangkit selepas kalah kepada Atalanta dalam liga serta Inter pada Piala Itali Selasa lalu dalam perlawanan Zlatan Ibrahimovic dibuang padang.
"Ia tindak balas yang bagus daripada pasukan. Kemenangan yang memberikan kami keyakinan pada hujung minggu yang sukar," kata jurulatih Milan, Stefano Pioli. |