Edited by piao at 1-2-2021 02:14 PM
Manisan dan pencuci mulut biasanya bertujuan untuk mengangkat dan memuaskan selera kita, jadi tidak hairanlah kebanyakan biskut, kuih muih dan kek adalah berwarna-warni dan dihiasi topping yang menarik. Namun lain pula konsep yang dibawakan oleh sebuah kedai roti yang berpusat di Ipoh ini apabila mereka memperkenalkan kek dengan hiasan serangga. Ramai di antara kita pasti pernah menemui beberapa makanan yang pelik tetapi ada juga makanan yang terus membuatkan kita loya melihatnya. Contohnya adalah kek yang dibuat oleh The Slice Ipoh Homebaker yang dihiasi dengan haiwan yang paling menggelikan, iaitu cicak dan lipas.
Apabila melihat kek yang dihasilkan kedai ini, pasti kita tidak tahu sama ada untuk makan atau sembur ubat pembunuh serangga.
Kedai roti tersebut telah menarik perhatian ramai di Facebook sejak berkongsikan gambar kek yang dihiasi dengan model cicak dan lipas yang sangat realistik. Dibentuk menggunakan fondant, model-model cicak dan lipas di atas kek itu memperlihatkan perincian yang halus dan mengkagumkan dengan bentuk dan warna yang hampir kelihatan nyata, termasuk tekstur kulit, dan mata yang kelihatan hidup.
Perkongsian gambar itu juga disertakan dengan penafian bahawa hiasan serangga di atas kek tersebut bukan serangga sebenar dan boleh dimakan.
Ternyata ramai yang meremang bulu roma melihat ciptaan luar biasa tersebut.
|