|
Anda Loser? Ada tangan robot boleh membantu
Tidak semua orang diberi nikmat berkuarantin dengan ditemani insan tersayang di sisi. Ada yang terus tabah dan bertahan, namun apabila terlalu lama kita tidak berpegangan tangan atau berpelukan boleh menjadi bom jangka kepada kesihatan mental dan fizikal manusia.
Maka ada sekumpulan jurutera di Jepun mencipta alat yang dapat meredakan kesunyian dengan memberi ilusi sentuhan manusia iaitu tangan robotik. Diberi nama 'Osampo Kanojo' bermaksud 'Gadis Bimbitku', ia diselaputi gel yang memberikan rasa seakan kulit manusia sebenar.
Ia masih dalam peringkat prototaip yang baru dipersembahkan pada Konvensyen Realiti Maya Antarabangsa baru-baru ini, bermakna ia belum siap sepenuhnya. Para penciptanya bercadang untuk memberikannya bau, bunyi dan boleh berpeluh seperti tangan manusia. Dan ia diyakini dapat menawan pasaran yang besar lebih-lebih lagi pada waktu begini.
Kesunyian bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng, kerana kesannya terhadap aktiviti otak sangat ketara. Dari otak yang tidak sihat, ia secara langsung akan menyebabkan jasmani merosot. Kesunyian sudah diketahui boleh mengundang penyakit seperti Alzheimer's, sakit jantung, angin ahmar dan dementia.
Manusia sememangnya makhluk sosial dan kita perlu bersentuh sesama kita. Dalam psikologi, dibuktikan bahawa ia adalah satu keperluan biologi untuk seseorang manusia berada bersama dengan manusia lain.
Kehangatan menggenggam tangan orang lain cukup untuk menghantar mesej ke otak untuk bertenang. Sensasi memegang dan kembali digenggam adalah satu nikmat buat manusia. Pada asasnya, ia mencetuskan otak untuk berfikir bahawa kita tidak keseorangan dan rasa selamat bila ada orang lain di sisi.
Bagaimanapun, hubungan emosi dengan orang yang disentuh itu juga menentukan impaknya. Dalam banyak kajian pengimejan otak, didapati memegang tangan orang yang tidak dikenali memberikan tindak balas yang sedikit, berbanding dengan bacaan apabila sang isteri memegang tangan suaminya.
Ini bukan kali pertama teknologi robot memegang tangan diperkenalkan. Namun ciptaan terbaharu 'Gadis Bimbitku' ini boleh disambungkan antara satu dengan yang lain. Contohnya, saya punya robot tangan disambungkan dengan robot tangan anda. Walaupun kita berjauhan, anda boleh merasai genggaman saya pada robot yang anda miliki. Pada masa sama, saya juga boleh merasai genggaman anda melalui robot tangan saya.
Makna kata, walaupun secara biologinya kita tidak bersentuhan, alat itu dapat menyampaikan ciri unik dimiliki oleh orang tersayang yang berjauhan. Penciptaan ini sebenarnya satu langkah besar dalam penerokaan manusia dalam teknologi perhubungan manusia.
Apabila siap dibangunkan dan sedia untuk dijual kelak, moga ia dapat membantu manusia tatkala saat darurat. Kalau tak mampu memiliki, hubungilah orang tersayang dengan teknologi yang ada. Sekurang-kurangnya anda berhubung dan tidak terlalu lama sendirian.
Sumber: Insider
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|