Pemain Manchester City Raheem Sterling (kiri) menanduk masuk gol tunggal perlawanan ketika menentang Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates. - Foto AFP
Berita Harian
LONDON: Manchester City kekal dengan kelebihan 10 mata di puncak Liga Perdana Inggeris selepas tandukan Raheem Sterling di awal permainan memberikan kemenangan 1-0 ke atas Arsenal.
18 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan meletakkan City semakin hampir dengan kejuaraan liga ketiga dalam empat tahun, walaupun prestasi anak buah Pep Guardiola sedikit menurun dalam aksi Emirates.
Sterling mempunyai tiga peluang terbaik dalam lima minit pertama pemainan, tetapi hanya hantaran lintang Riyad Mahrez berjaya disempurnakannya untuk kemenangan bersih ke-10 dalam 13 aksi liga.
"Orang merasakan ia kelihatan mudah. Ini amat sukar. Saya tidak jangkakan aksi konsisten sebegini sepanjang bulan lalu. Menang 1-0 pada perlawanan ini adalah apa yang kami perlukan," kata Guardiola.
City kini menyamai rekod kelab untuk 11 kemenangan berturut-turut di tempat lawan dalam semua pertandingan, yang dicatat dari Mei hingga November 2017.
Mereka adalah pasukan liga tertinggi pertama memenangi 11 perlawanan pembukaan liga bermula awal tahun.
Arsenal kekal di tangga ke-10 liga dan peluang terbaik untuk kembali ke kancah Liga Juara-Juara Eropah adalah dengan menjuarai Liga Europa. |