Reaksi kecewa penjaga gol Liverpool, Alisson (kanan) selepas gagal menghalang jaringan pemain Chelsea, Mason Mount pada minit ke-42 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. Liverpool tewas 0-1. - Foto EPA.
Berita Harian
LIVERPOOL: Jurgen Klopp mengakui kekalahan 1-0 Liverpool di tangan Chelsea adalah satu tamparan hebat buat skuadnya yang kini tewas lima perlawanan berturut-turut di laman sendiri buat pertama kali dalam sejarah kelab.
Skuad kendalian Klopp ditundukkan di Anfield oleh jaringan Mason Mount di akhir babak pertama.
Selepas menamatkan kemarau 30 kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, Liverpool yang dibelenggu kecederaan mengharungi deretan keputusan mengecewakan dan kini berdepan tugas sukar untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas.
Dengan hanya 11 perlawanan berbaki, Liverpool kini berada di tangga ketujuh - ketinggalan empat mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.
"Ia bukan berkenaan Anfield atau apa saja, ia secara umum, terlalu kerap. Pada saat getir kami perlu tampil lebih baik. Anda tidak boleh katakan ia hanya di laman sendiri. Kami perlu menunjukkan kualiti dalam saat sebegini dan kami tidak cukup melakukannya.
"Ia adalah perlawanan yang tegang dan sukar. Ia satu tamparan hebat. Kami perlu menang perlawanan bola sepak. Ia belum berakhir," kata Klopp.
Klopp tidak berpuas hati dengan pertahanannya yang membolehkan Mount membolosi mereka.
Dia juga kecewa dengan ketumpulan barisan serangan yang diterajui penjaring terbanyaknya, Mohamed Salah.
"Anda perlu bertahan dengan cara berbeza dan kami tidak melakukannya. Akhirnya kami dibolosi kerana kesilapan sendiri.
"Anda boleh katakan Chelsea bertahan dengan baik tetapi dengan penguasaan yang kami ada, sepatutnya lebih banyak peluang dicipta. Semuanya baik kecuali hantaran terakhir," katanya. |