|
PJ City ubah percaturan
Kuala Lumpur: Skuad 'made in Malaysia' iaitu PJ City boleh dikatakan tempang pada perlawanan menentang Sri Pahang FC Ahad ini, berikutan dua tonggak utama mereka direhatkan selepas mengalami kecederaan pada perlawanan sebelum ini.
Pengurus pasukan PJ City K Rajendran berkata, dua pemain terbabit iaitu penyerangnya Darren Lok dan kapten pasukan K Gurusamy berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan pada perlawanan Ahad ini sekali gus menyaksikan ketua jurulatih P Maniam perlu mengubah percaturan bagi meraih tiga mata penting untuk pasukan.
Beliau berkata, walaupun tanpa kehadiran dua tonggak utama itu, skuad PJ City enggan mudah mengaku kalah apabila menyenarai bekas pemain Sri Pahang FC R Kogileswaran untuk menggalas tugas sebagai penggempur utama pasukan.
"Kami optimis mampu mengekalkan rentak permainan walaupun tanpa kehadiran dua tonggak utama yang tidak sempat pulih untuk perlawanan Ahad ini.
"Walaupun skuad Tok Gajah bermula saingan liga dengan aksi kurang memuaskan namun prestasi terkini mereka semakin baik.
"Oleh itu, kita perlu lebih berhati-hati dan pemain turut perlu lebih fokus bagi memastikan tidak terlepas tiga mata penting untuk PJ City terus mengukuhkan kedudukan," katanya, di sini.
Mengikut rekod, PJ City yang dibarisi pemain tempatan dilihat antara pasukan menyinar pada musim ini apabila mencatatkan keputusan satu kemenangan, dua seri dan tewas sekali untuk berada tangga keenam Liga Super dengan lima mata.
Sumber :https://www.hmetro.com.my
|
|