Keselamatan makanan merujuk kepada rutin dalam penyediaan, pengendalian dan penyimpanan makanan untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh makanan. Produk makanan boleh terdedah kepada bahaya dalam perjalanan mereka melalui rantaian bekalan makanan (food supply chain). Sehubungan dengan hal itu, amalan dan prosedur pengendalian makanan yang selamat perlu dilaksanakan pada setiap peringkat supaya keselamatan makanan dapat dijaga.
Pada masa kini, kawalan keselamatan makanan menjadi lebih sukar kerana penghasilan makanan yang kompleks. Pelbagai punca pencemaran makanan boleh berlaku di sepanjang rantaian bekalan makanan.Lantaran itu, penyebab pencemaran makanan in perlu dikawal dalam semua proses dan aktiviti penghasilan makanan termasuk semasa proses pengeluaran, pemprosesan, pengangkutan, penyimpanan dan penyediaan makanan. Ini penting supaya makanan yang tercemar tidak berada di pasaran tempatan dan punca pencemaran keselamatan makanan dapat dikenalpasti lebih awal tanpa menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan makanan. Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewajibkan setiap empunya dan penghuni premis pengilangan makanan hendaklah menyediakan dan mengadakan satu Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009. PJKM merupakan satu sistem amalan terancang yang didokumenkan dan memberi jaminan bahawa mana-mana jenis makanan tertentu tidak akan memudaratkan pengguna apabila dimakan. Antara PJKM yang telah diperkenalkan kepada premis yang terlibat dalam pengilangan makanan adalah seperti Good Manufacturing Practice (GMP), Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP), ISO 22000 dan sebagainya.
|