|
Tiada tonggak utama punca Sabah tewas
PEMAIN Johor Darul Ta'zim, Mohd Afiq Faizal (dua kanan) cuba melepasi kawalan pemain Sabah FC, Mohd Syukri Baharun (kanan) dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, semalam. FOTO Bernama
Kota Kinabalu: Ketua Jurulatih Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto akui, ketiadaan beberapa tonggak utamanya menyukarkan pasukan itu ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menyaksikan mereka dimalukan 1-4, di Stadium Likas, semalam.
Katanya, antara pemain itu termasuk pemain import, Park Taesu yang digantung perlawanan serta Mohd Azzizan Nordin yang masih belum cergas sepenuhnya.
"Dari awal permainan saya melihat para pemain sedikit gementar, apa lagi dengan ketiadaan Park yang digantung perlawanan dan Azzizan yang belum pulih sepenuhnya.
"Kita terpaksa menggunakan Syukri (Baharun) dan Ricco (Nigel Milus) yang mana minit permainan mereka pada tahun lalu agak kurang namun kita terpaksa memgambil risiko ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu semalam.
Pada aksi semalam, JDT terus kekal dengan rekod tanpa kalah mereka selepas menundukkan skuad Badak hasil dua jaringan Bergson Da Silva dan masing-masing satu gol oleh Arif Aiman Mohd Hanapi dan Leandro Sebastian Velazquez.
Gol sagu hati tuan rumah pula dijaringkan pemain import tengah mereka, Levy Clement Madinda selepas dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil pada minit ke-57.
Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, walaupun menang selesa, beliau tetap menganggap ia satu perlawanan yang sukar buat anak didiknya.
Katanya, para pemain Sabah FC menyukarkan pergerakan mereka namun hasil kerja keras para pemain, mereka akhirnya berjaya meledak empat gol.
"Ia satu perlawanan yang sengit, perlawanan menentang Sabah FC sentiasa sukar kerana semua pemain mereka adalah pejuang semula jadi walaupun kadang-kadang mereka agak keterlaluan," katanya.
Sumber : https://www.hmetro.com.my
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|