|
Wanita: Belajar mensyukuri anugerah Allah
Dari awal dia bercerita tentang simptom sakitnya, saya sudah dapat agak semacam ada yang tak kena.
Macam tak logik sahaja bunyinya.
Sumber Gambar : Google
Puan ada rasa berdebar ke atau risau apa-apa ke sebelum rasa sakit perut tu?
Dia datang dengan susah nafas. Katanya setiap kali sakit perut, akan rasa begitu.
“Sebenarnya saya hari itu ada simptom yang sama. Doktor hari itu rujuk saya kepada doktor psikiatri.”
Saya terus belek semula bukunya. Oh ya! memang doktor sebelum ini telah pun diagnos dirinya dengan Genaralized Anxiety Disorder.
Sumber Gambar : Google
Setelah menerangkan sedikit sebanyak bagaimana simptomnya, saya cuba korek cerita.
“Dah lama ke puan ada simptom macam ni?”
“Dah lama doktor. Sejak saya keguguran kali kelima dulu. Sejak tu, saya macam trauma. Setiap kali saya berbincang tentang penyakit, automatik saya akan berdebar dan susah nafas macam ni.”
“Keguguran kali kelima?” terangkat kening saya.
Dia angguk.
“Sekarang ada anak?”
Geleng.
Subhanallah! Fahamlah saya kenapa begitu besar impak keguguran kepada dia. Besarnya ujian!
Sumber Gambar: Google
Terasa begitu empati dengan takdir hidupnya.
“Saya sendiri kalau berada di tempat puan tak tahulah dapat bertahan ke tak. Saya baru sahaja beberapa bulan kahwin.
Tapi, saya fahamlah bukan senang nak dapat anak tu kan. Dah dapat mengandung, keguguran pula. Lima kali pula tu.”
“Masa keguguran yang last tu doktor, saya entah macam sedih sangat awal-awal tu. Saya sampai minta doktor tu ‘ikat’ supaya saya tak boleh mengandung lagi. Tak sanggup rasanya nak hadap lagi.”
“Ya Allah… beratnya ujian untuk puan.”
“Berat, doktor. Itu belum masuk mulut orang lagi. Ada yang kata, ‘Apa guna ada rupa, ada harta, tapi tak boleh buat anak?’ Ada pula yang suruh suami saya ceraikan sayalah, macam-macam.”
“Allahu akbar…”
“Tapi yang buat saya kuat satu je. Suami saya. Dia pernah cakap kat saya, dia sanggup hilang anak, tapi tak sanggup kehilangan saya. Sejak daripada tu, saya langsung tak hirau dah apa orang kata. Saya mula dapat semangat untuk teruskan hidup.”
Sumber Gambar : Google
Subhanallah. Tak dapat saya bayangkan episod air mata yang menghiasi kehidupan mereka suami isteri. Terharu juga dengan kesanggupan dan pengorbanan si suami.
“Sekarang puan bekerja?”
“Tak. Saya sekarang suri rumah je.”
“Biasa duduk rumah buat apa?”
“Bangun pagi, saya mengemas, sambil tu dengar juga ceramah Ustazah Asma’ Harun atau Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa.”
“Oh, bagus macam tu…”
“Teruskan puan. Jangan putus asa untuk lepaskan diri daripada masalah ni. Memanglah masalah psikiatri ni tak terkait dengan iman, tak kira sikit atau banyak amalan agama dan sebagainya. Tapi sedikit sebanyak, lingkaran positif ni sangat membantu.
Antara lain, puan boleh cuba menulis. Kadang cerita hidup kita ni Allah takdirkan penuh tragedi supaya kita boleh guna untuk inspirasi kepada orang lain pula nanti.
Mungkin ada sahaja di luar sana yang senasib dengan puan, atau yang tak sedar ada orang yang lebih teruk diuji seperti puan.”
“Baik… terima kasih, doktor. Jarang saya bercerita kepada orang tentang hidup saya. Tapi dengan doktor, alhamdulillah saya rasa lebih tenang lepas bercerita.”
“Allah juga sedang mengajar saya melalui puan. Saya yang patut berterima kasih.”
Dia keluar daripada bilik saya.
Saya pula bersedia menakung air mata.
.
.
Nur Hanisah
Belajar Mensyukuri
.
P/s: Boleh kongsikan manfaat daripada tulisan ini kepada orang tersayang yang mungkin sedang diuji.
Sumber:http://wanitakelantan.com
|
|