GPS tidak mahu diheret dalam kemelut politik Semenanjung
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan diheret atau dipengaruhi dengan kemelut politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia kerana mengutamakan kestabilan politik dalam negara.
Naib Presiden PBB, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri walaupun 11 Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.
Kata Abdul Karim, usul percaya dan sokongan majoriti hanya dapat dibuktikan di Dewan Rakyat meskipun terdapat beberapa pemimpin parti politik mendakwa mempunyai jumlah sokongan dalam akuan bersumpah (SD) untuk membentuk kerajaan.
Abdul Karim menambah, tindakan Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Kerajaan PN dilihat seperti ingin mengelakkan perbicaraan kes mahkamah terhadap mereka.
“Apabila kami memberi sokongan kepada PN, sokongan tersebut adalah demi kestabilan dalam Malaysia. Kami memegang teguh untuk perkara itu.
“Kita bukanya lalang yang melompat ke sana ke sini apabila orang di sebelah sana menelefon kita untuk memberi sokongan. Tidak sama sekali,” katanya sambil menambah pemimpin GPS adalah rasional..
Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena sambutan ulang tahun ke-130 Muzium Sarawak, di sini hari ini. Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berharap ahli-ahli politik tidak mengheret Yang Di-pertuan Agong dalam kemelut politik semasa.
Jelasnya, Yang Di-Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Baginda bebas dari unsur-unsur politik.
“Biarkan Yang Di-Pertuan Agong bebas dari politik dan dirujuk untuk meminta pandangan, nasihat dan sebagainya.
“Jangan tarik Baginda dalam masalah-masalah politik untuk mendapatkan sokongan kerana ia sesuatu yang tidak baik untuk Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, Sarawak akan menunggu dan melihat perkembangan terkini yang berlaku di Putrajaya sekiranya berlaku sebarang pertukaran kerajaan
Kata Abdul Karim, Ketua Menteri, Abang Johari Tun Openg tahu apa yang perlu dilakukan dan akan berhubung dengan pemimpin dikalangan parti GPS mengenai situasi politik semasa.
sarawakvoice.com/2021/08/04
|