Kuwait menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Menembak Antarabangsa sekitar tahun 2012 dengan menyaksikan wakil dari Kazakhstan, Maria Dmitrienko merangkul pingat emas.
Kemenangan Kazakhstan dalam pertandingan itu dicemari dengan insiden yang sangat memalukan bagi pihak penganjur dan kerajaan Kazakhstan apabila petugas kejohanan telah memasang lagu kebangsaan Kazakhstan yang salah iaitu lagu kebangsaan yang diparodikan oleh Sacha Baron Cohen menerusi filem Borat. Lirik lagu tersebut sangat tidak senonoh dan tidak sesuai didengari oleh kanak-kanak yang masih berfikiran suci. Dmitrienko hanya tersenyum sejurus selepas lagu tersebut habis diputarkan.
Persatuan Menembak Kazakhstan menuntut pihak penganjur untuk meminta maaf. Menurut jurulatih menembak negara Asia Tengah itu kepada media Kazakhstan, penganjur telah memuat turun lagu yang salah untuk diputarkan. Pihak penganjur juga melakukan hal yang sama kepada lagu kebangsaan negara Serbia. Upacara penyampaian pingat bagaimanapun dilakukan semula dan petugas yang bertanggungjawab didenda sebanyak KD 1000 (RM1438.90).