[size=0.8]Oleh Izad Thaqif Hassan - Ogos 18, 2021 @ 11:57pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/sangkut_1629302199.jpg)
YAN: "Selepas air banjir surut, saya ternampak mayat seorang lelaki tersangkut pada pokok pisang hadapan rumah," kata Mohd Nasir Shuib, 41, menceritakan kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Setoi, di sini, petang tadi.
Menurutnya, mayat lelaki terbabit ditemui kira-kira jam 5.30 petang dalam keadaan tidak sempurna berkemungkinan akibat dihempap pokok balak.
"Saya kemudian terus menghubungi polis memaklumkan penemuan itu sebelum polis tiba tidak lama kemudian dan membawa mayat itu ke hospital," katanya.
Menceritakan kembali kejadian itu, Mohd Nasir berkata, beliau berada di luar rumah kira-kira jam 4 petang dan melihat air sungai melimpah.
"Saya agak pelik melihat paras air sungai naik disusuli bunyi yang terlalu kuat.
"Tidak lama kemudian air naik mendadak dan mengalir laju bersama kayu balak di depan rumah saya," katanya.
Menurutnya, suasana ketika itu bertukar menjadi kelam kabut dengan jeritan meminta tolong penduduk kampung yang tinggal berhampiran sungai," katanya.
Katanya, dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan semua lima anaknya yang berada dalam rumah.
"Air bercampur pasir masuk ke dalam rumah dan ini kali pertama kejadian seumpama ini berlaku di kampung ini," katanya.