|
LIMBANG: Individu yang membuang atau meninggalkan kucing sesuka hati di bandar ini bakal berdepan tindakan tegas termasuk kompaun apabila kertas kerja polisi itu akan dibentang Majlis Daerah Limbang (MDL) untuk diluluskan tidak lama lagi.
Walikotanya Kaunselor Sufian Mohat menegaskan polisi baharu itu akan diperkenalkan pihaknya di Limbang selepas kertas kerja dirangka untuk dibentang dalam Mesyuarat Penuh MDL minggu depan.
“Polisi ini akan diperkenalkan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak membuang kucing sesuka hati.
“Kita juga tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun dan tindakan tegas atas perbuatan tidak bertanggungjawab itu,” katanya ketika ditemui media selepas Program Sayangi Kucing Jalanan anjuran Jawatankuasa Pelancongan, Pendidikan dan pembangunan Komuniti, MDL, Bersama Veterinar dan Cat Rescue Club (CRT) hari ini.
Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pendidikan dan Pembangunan Komuniti Kaunselor Frederick Lalong dan wakil Setiausaha MDL Mohammad Syamil Jumain.
Dedah Sufian pihaknya menerima aduan hampir setiap hari berkaitan najis kucing khusus di kawasan bangunan Tamu Limbang, kawasan milik MDL dan kawasan terbuka yang merupakan lokasi serta tumpuan haiwan itu mencari makanan.
Katanya orang ramai tidak seharusnya membuang kucing di kawasan awam termasuk memberi haiwan tersebut kepada orang yang mahu menjaga kucing.
“Kita mahu orang ramai mempunyai sifat sayang kucing,”katanya lagi.
Menurutnya MDL merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terawal menjalankan program tersebut di negeri ini dan ia sudah dijalankan dibeberapa negeri di Semenanjung seperti Perlis dan Kedah.
Katanya masih terdapat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab serta tidak mempunyai kesedaran terhadap kucing dengan membuang haiwan itu di bandar ini.
“Oleh sebab itu, atas nasihat orang ramai CRT ditubuhkan dengan kerjasama Pihak Veterinar bagi memastikan kucing dijaga dan diselamatkan sekali gus menjaga aspek kebersihan bandar dan kawasan di bawah PBT,” katanya lagi.
Bagi tujuan itu MDL jelasnya menyediakan satu kawasan kurungan sementara untuk menampung 30 ekor kucing saja.
“Pada masa sama orang ramai digalak menyumbang makanan atau wang tunai ke MDL, atau CRT selain membantu menjaga dan membersihkan haiwan itu dan kucing ini juga diberikan secara percuma kepada mereka yang berminat menjaganya,”katanya lagi.
Mastura Ismail
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|