Projek bina jalan Pasi-Tanjung Manis giat dijalankan, dijadual siap Julai 2023
Len Talif bersama rombongannya melawat tapak pembinaan projek jalan Pasi-Tanjung Manis yang merangkumi jambatan Batang Rajang.
TANJUNG MANIS: Proses pembinaan jalan Pasi-Tanjung Manis yang bernilai RM321 juta kini giat dijalankan.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, projek itu merangkumi pembinaan jambatan Batang Rajang.
"Projek ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Negeri Sarawak dengan melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 17 kilometer (km) dan juga membina sebuah jambatan sepanjang 1.2 km yang merentangi Sungai Batang Rajang.
"Projek ini dijadualkan siap pada 21 Mac 2023, namun demikian ia dilanjutkan sehingga 20 Julai 2023 disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan pandemik COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai menghadiri sesi taklimat dan melawat tapak projek pembinaan jalan raya Jalan Pasi-Tanjung Manis di Pusat Khidmat PBB Kuala Rajang di Tanjung Manis, semalam.
Sesi taklimat tersebut disampaikan oleh Pengurus OPUS Consultants (M) Sdn Bhd Mohd Hishamudin Adzhari.
Dalam taklimat tersebut, Len Talif diberikan penerangan berkenaan status pembinaan projek jalan Pasi-Tanjung Manis termasuk Jambatan Batang Rajang yang sedang dibina.
Mengulas pembinaan tersebut, Len Talif berkata, beliau berpuas hati dengan status pembinaan tersebut walaupun terdapat sedikit kelewatan disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19 yang melanda pada ketika ini.
"Kita yakin dengan pelaksanaan projek pembangunan ini, ia akan mampu membawa pelbagai impak yang positif terutama dalam melonjakkan taraf sosial ekonomi penduduk.
"Pada masa yang sama juga, selain memendekkan masa perjalanan dari dua jam melalui Sibu kepada 45 minit, projek ini secara tidak langsung akan mentransformasikan kawasan luar bandar dalam pembangunan infrastruktur seperti jajaran jalan persisir, menara telekomunikasi, bekalan air bersih dan juga bekalan elektrik," tegas Len Talif lagi.
Selain itu, beberapa projek pembinaan jalan serta jambatan seperti jambatan Batang Paloh, jambatan Batang Lupar, jambatan Batang Lassa, jambatan Batang Igan, jambatan Batang Kemena dan juga projek-projek lain turut dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Selepas diberi taklimat, Len Talif beserta rombongan melawat tapak projek di Jalan Tanjung Manis-Sibu untuk meninjau serta melihat perkembangan kerja-kerja di tapak pembinaan tersebut.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Timbalan Residen Bahagian Sarikei Abang Mohd Porkan Abang Budiman, Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah, Jurutera Jabatan Kerja Raya Sarikei Iman Nazeerudin Abd Naser dan Kaunselor Majlis Daerah Matu Daro Ibni Ekni.
utusanborneo.com.my/2021/08/22
|