[size=0.8]Oleh Nor Amalina Alias - Ogos 25, 2021 @ 1:49pm[email protected]
Suspek kes tikam bapa ditahan reman seminggu di Mahkamah Majistret Bachok, Bachok
BACHOK: Lelaki yang menikam bapa sendiri semalam, dipercayai kerana marah anak saudaranya menangis, hari ini diperintahkan ditahan reman seminggu bermula hari ini.
Perintah reman terhadap penganggur berusia 28 tahun sehingga Selasa depan, dikeluarkan Majistret Mohd Dinie Syazwan Ab Shukor di Mahkamah Majistret Bachok pagi tadi.
Suspek sebelum itu dibawa mahkamah dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu pada jam 9.10 pagi. Ketika dibawa polis ke mahkamah dan sepanjang serta selepas prosiding, dia dilihat hanya mendiamkan diri.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata suspek ditahan di rumahnya sebaik polis menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi di sebuah rumah berhampiran Pasar Bachok semalam, suspek dipercayai menikam bapanya berusia 66 tahun kerana dikatakan marah anak saudaranya menangis.
Mangsa mengalami luka pada kanan leher, atas kepala, telinga kiri, tapak tangan kiri dan calar pada lengan kiri akibat ditikam berkali-kali menggunakan pisau pemotong sayur.
Suspek dipercayai menerima rawatan mental di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak lima tahun lalu dan mengambil ubat setiap enam bulan.
Dia juga tidak mempunyai rekod jenayah, manakala ujian air kencing yang dilakukan menghasilkan keputusan negatif.