[size=0.8]Ramli Ibrahim - Ogos 29, 2021 @ 10:46am[email protected]
Kebun pisang di Kampung Lembaga, Gua Musang menjadi sasaran dua ekor gajah sejak empat bulan lalu. - Foto NSTP/Ramli Ibrahim
GUA MUSANG: Penduduk Kampung Lembaga, di sini menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil tindakan segera menangkap gajah yang memusnahkan hasil kebun mereka sejak empat bulan lalu.
Seorang penduduk, Mohd Rosdi Ayub, 54, berkata setakat ini 500 pokok pisang diusahakan di Jalan Subong, tidak jauh dari rumahnya bersama 10 penduduk dimusnahkan gajah.
"Sampai bila kami terpaksa tanggung kerugian, kerap kali gajah musnahkan pokok pisang tanpa sebarang tindakan," katanya.
Katanya, kejadian dilakukan berulang kali sejak empat bulan lalu dan terbaru pagi kelmarin hingga mereka takut memasuki kebun.
Menurutnya dua ekor gajah dipercayai masih berada dalam kawasan berkenaan dan kemungkinan lebih banyak pokok pisang dimusnahkan.
"Pokok pisang yang dimusnahkan itu sudah mengeluarkan hasil. Kami sudah laporkan kepada PERHILITAN tetapi belum ada tindakan," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mokhtar Osman, 36, berkata mereka juga takut untuk keluar menoreh kerana kehadiran dua ekor gajah sejak seminggu lalu.
"Kejadian itu berlaku jam 7 pagi hingga terpaksa tinggalkan getah sekerap dan sampai hari ini masih takut untuk menoreh getah," katanya.
Katanya, gajah itu dipercayai berkeliaran dalam kebun hingga ke Kampung Kundur sebelum kembali semula ke kampung itu.