Butterworth: Seorang pekerja swasta kerugian RM13,000 apabila membayar untuk mendapatkan khidmat seks seorang wanita dikenalinya menerusi aplikasi media sosial.
Lelaki berusia 30-an itu berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi 'Line', baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa dihubungi perantara yang bertindak sebagai agen aplikasi berkenaan sebelum ditawarkan untuk mendapatkan khidmat seks daripada wanita dikenalinya itu.
"Agen itu meminta mangsa membuat pembayaran melalui tambah nilai dikenali 'Razer Gold' di kedai serbaneka berhampiran dan dijanjikan akan menerima khidmat seks di sebuah kondominium di kawasan Raja Uda.
"Mangsa membuat bayaran secara berperingkat sehingga berjumlah RM13,300 dan menyerahkan nombor pin tambah nilai berkenaan kepada agen terbabit.
"Bagaimanapun, dia berasa tertipu apabila gagal menghubungi agen berkenaan selepas pembayaran dibuat dan membuat laporan polis semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noorzainy berkata, siasatan mendapati mangsa diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan khidmat seks secara dalam talian.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan sebarang aplikasi yang menawarkan perkenalan secara alam maya sehingga mendorong mangsa membuat atau menyerahkan bayaran.
Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya turut menerima laporan dua pekerja swasta yang kerugian RM7,908 selepas diperdaya sindiket menawarkan jual beli barangan secara dalam talian menggunakan Instagram.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa berusia 30-an diperdaya selepas melihat iklan penjualan barang kemas dan barangan perkakas dapur pada harga lebih murah berbanding pasaran.
"Mangsa berminat dengan produk diiklankan dan membuat bayaran sebelum mengetahui mereka ditipu selepas suspek terus meminta bayaran tambahan.
"Polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat kedua-dua kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.