Tidak Pernah Rasa Kasih Sayang Ayah, Lelaki Ini Nekad Buat ‘Photoshoot’ Bersama Rangka Orang Tuanya
Seorang lelaki dari China telah mencetuskan kontroversi di Weibo apabila memuat naik gambar photoshoot dirinya berbaring di tepi rangka mendiang ayahnya yang telah digali keluar dari kubur.
Siyuan Zhuji, 33, nekad menggali dan menyusun semula tulang-temulang ayahnya sebelum baring dalam keadaan bogel di sebelah rangka tersebut di dalam sebuah photoshoot.
Lelaki itu memuat naik gambar-gambar hasil daripada photoshoot tersebut di sebuah laman sesawang hasil seni dan di Weibo pada hari Sabtu, hujung Mac lalu.
Semua gambar terbabit telah tular dengan cepat dalam kalangan warganet yang rata-rata menyelar tindakan Siyuan sebagai tidak sopan dan tidak malu dek bertelanjang sebegitu.
Penggalian semula keranda serta ayahnya itu turut dibantu oleh penjaga kubur.
Siyuan menjelaskan bahawa ayahnya meninggal dunia kerana kanser hati ketika dia baru mencecah usia tiga tahun. Jadi, photoshoot bersama ayahnya merupakan ‘impian’ dirinya sedari kecil.
“Saya berasa sangat bahagia. Saya tidak pernah berada sedekat ini dengan ayah sepanjang saya hidup kerana ayah ‘pergi’ terlalu awal.”
“Saya berbogel di dalam gambar tersebut untuk menunjukkan ini adalah keadaan diri kita apabila kita datang (dilahirkan) atau meninggalkan dunia suatu masa nanti,” kata Siyuan.
Gambar-gambar tular terbabit itu sebenarnya diambil oleh isterinya sendiri, Lin Shan selepas mendapat keizinan penjaga kubur.
Terdapat satu komen daripada warganet yang telah mendapat tanda suka tertinggi dan ia berbunyi, “Kamu jelas sekali menunjukkan yang kamu sebenarnya menggali semula kubur ayah kamu demi mendapatkan kemasyhuran dari dunia.”