|
BEAUFORT: Tiga individu termasuk seorang wanita yang leka menagih dadah gagal melarikan diri sebaik diserbu di sebuah rumah di Kampung Bintuka, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata serbuan dilaksanakan selepas pihaknya mendapat maklumat berkenaan aktiviti penagihan dadah di rumah berkenaan.
“Bertindak dengan maklumat, polis berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 45 hingga 57 tahun dalam serbuan jam 7.40 pagi.
“Hasil pemeriksaan fizikal daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort tidak menemukan sebarang peralatan atau barangan berkaitan dadah.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah terbabit kemudiannya berjaya membawa kepada penemuan satu kotak rokok mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek terus ditahan dan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk tindakan selanjutnya.
“Hasil ujian saringan ari kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Vivi Olviana Najurus
|
|