SPAOH: Sebuah kenderaan yang dinaiki dua beranak difahamkan berpusing sebanyak dua kali setelah hilang kawalan sebelum merempuh pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan, demikian dijelaskan Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Henry Jugah.
Bagaimanapun menurutnya, pemandu kereta jenis Perodua Bezza, Halieza Gemserin, 24 dan ibunya, Rebayah Jek, 42 selamat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Bebuling, kira-kira 1.47 tengah hari tadi.
“Mangsa tersepit di bahagian kaki kanan tempat pemandu.
“Bomba bertindak mengeluarkannya dari tempat duduk sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke Hospital Betong,” katanya ketika ditanya lanjut, hari ini. Jelasnya, Halieza disahkan mengalami kecederaan pada kaki kanan.
Sementara pemandu Toyota Hilux, Thomas Chagat, 50 yang bergerak dari arah Pekan Spaoh tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun, bahagian hadapan kedua-dua buah kenderaan mengalami kerosakan teruk akibat perlanggaran yang kuat.
Operasi yang diketuai PBK II Syderik Lagou tamat kira-kira 3.13 petang.
Turut meninjau keadaan di lokasi kemalangan ialah Adun Layar, Gerald Rentap Jabu.
sarawakvoice.com/2021/09/29
|