|
KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) komited memastikan semua guru dan kakitangan institusi pendidikan awal kanak-kanak diberi vaksinasi dalam persiapan menghadapi fasa endemik COVID-19.
Menterinya, Dato Seri Fatimah Abdullah berkata, langkah itu mampu dicapai menerusi kerjasama kementeriannya dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan pusat pemberian vaksinasi di seluruh negeri.
“Setakat ini, sejumlah 98.08 peratus iaitu 9,938 daripada jumlah keseluruhan 10,133 guru dan kakitangan institusi awal kanak-kanak di Sarawak telah diberikan suntikan vaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Konvensyen Prasekolah Antrabangsa Sarawak 2021 menerusi siaran langsung daripada Zoom dan Facebook Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) di sini, hari ini .
Majlis bertemakan Pembinaan Watak Insan dalam Norma Baharu itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Sepanjang penularan pandemik COVID-19, kata Fatimah, pembelajaran bersemuka telah digantikan dengan pembelajaran secara dalam talian.
Justeru katanya, dengan pemberian suntikan vaksin, para pendidik ini dapat memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak.
“Sekali gus memastikan anak-anak kecil ini dapat mengikuti perkembangan pembelajaran sehingga mereka lebih bersedia untuk memasuki sekolah secara bersemuka nanti,” katanya.
Beliau memaklumkan tahun ini, prasekolah di Sarawak telah diberi kelulusan untuk beroperasi sejak 26 Jun 2021 dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dari Kementeriannya.
Setakat 26 Jun 2021 katanya, sebanyak 381 prasekolah dikendalikan oleh 2,789 pendidik dan pengasuh dengan sejumlah 16,831 kanak-kanak di negeri ini.
Sementara itu, Fatimah berkata, Sarawak atau kemungkinan negeri lain akan mula beralih daripada fasa pandemik COVID-19 ke fasa endemik tidak lama lagi.
Oleh itu, semua orang harus bersedia untuk hidup bersama wabak ini dan bagi menyokong semua pengendali prasekolah dalam situasi yang mencabar ini, Sarawak membenarkan pengendali Prasekolah menggunakan Geran Khas Tahunan (GTK) sebanyak RM5,000.
“Ia boleh digunakan untuk membeli pelitup muka, cecair pembasmi kuman, sabun tangan atau membayar perkhidmatan pembersihan institusi mereka dan bahkan melakukan sedikit pekerjaan sesuai dengan keperluan di institusi masing-masing.
“GTK untuk prasekolah yang berdaftar telah mula disalurkan bermula tahun 2019 dan kerajaan menyalurkan RM16 juta setiap tahun sejak 2019 hingga 2021,” katanya.
Dalam pada itu, Fatimah berkata, tema konvesyen ini adalah selaras dengan salah satu objektif persidangan iaitu bagi memastikan setiap anak dilengkapi dengan nilai-nilai yang tepat sehingga mereka dapat menyesuaikan diri dengan tuntutan norma baharu.
Ujarnya,peserta konvensyen ini bukan hanya terdiri daripada guru dan penjaga pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (ECCE) tempatan tetapi juga peserta antarabangsa dari pelbagai negara seperti Jepun, Singapura, Brunei, Indonesia dan juga peserta dari Semenanjung Malaysia.
“Tahun ini, walaupun kita menyasarkan 950 peserta, sambutannya luar biasa dengan lebih daripada 1,000 orang mendaftar.
“Kita berbangga dengan guru ECCE kita kerana sentiasa berminat untuk mengembangkan diri secara profesional untuk menjadi guru dan pengasuh yang lebih baik," ujarnya.
Pada konvensyen itu, seramai lima penceramah antarabangsa telah dipilih untuk membentangkan kertas kerja mereka yang terdiri daripada Dr. Nurul Nadiah Sahimi (Malaysia); Dr. Christine Chen (Singapura); Prof Emeritus Yoichi Sakakihara (Jepun); Prof Dr Supriyono (Indonesia) dan Dayang Siti Zaharah Abdul Razak (Brunei).
credit
|
|