KUCHING: Wakil rakyat dan pemimpin akar umbi digesa meneliti dengan mendalam punca dan masalah dihadapi masyarakat di daerah Pusa yang dikategorikan sebagai daerah termiskin.
Pemangku Pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, dapatan daripada Unit Perancang Ekonomi yang dibahaskan di Dewan Rakyat baru-baru ini meletakkan Daerah Pusa Sarawak antara 10 buah Daerah termiskin di Malaysia.
Namun ujarnya ia tidaklah mengejutkan kerana sebagai orang yang selalu turun ke lapangan, melihat, mendengar dan berhadapan dengan keluh resah rakyat di semua kampung yang berada di Daerah Pusa.
“Sebenarnya Daerah Pusa adalah sebuah kawasan yang sangat strategik yang terletak kira-kira 70 km dari Pekan Bahagian Betong.
“Sejak sekian lama Daerah Pusa sememangnya sudah disediakan jalan perhubungan seperti jalan darat dan laut sungai dan telah sama-sama menjadi sebahagian dari kawasan dalam negara sejak pembentukan Malaysia 58 tahun yang lalu.
“Namun di mana silapnya, sehingga Daerah Pusa yang strategik ini menjadi antara daerah yang tergolong dalam daerah yang masih miskin,” katanya menerusi, kenyataan hari ini.
Abang Zulkifli yang juga Ketua Cabang PKR Batang Lupar berkata, sehubungan itu beliau menyarankan supaya wakil rakyat setempat, Ketua Masyarakat dan Kerajaan harus meneliti dengan mendalam dan tuntas.
Katanya ia dengan mencari punca dan mengurus masalah serta bertindak mengatasi masalah yang sudah tersangkut sejak sekian lama.
Tambahnya wakil rakyat dan ketua masyarakat harus meluaskan peranan bukan sahaja menumpukan kepada MRP sahaja, tetapi projek-projek pertanian, perikanan, ternakan dan industri kampung bersekala untuk rakyat.
Menurut beliau daerah Pusa yang terdiri dari kira-kira 15,000 penduduk yang sebahagian besarnya Bumiputera Melayu, diikuti Kaum Iban dan sebahagian kecil masyarakat Cina yang mendiami kawan Pekan dan Bazar.
“Sebahagian besar penduduk Daerah Pusa terdiri dari kaum nelayan dan petani.
“Rakyat tidak harus takut menyatakan kebenaran dan tidak perlu takut bertindak untuk mendesak bagi mendapatkan hak pembangunan yang adil, khususnya pembangunan ekonomi,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/02
|