View: 1689|Reply: 2
|
[Sarawak]
RM402 juta untuk naik taraf sekolah daif
[Copy link]
|
|
TURUN PADANG… Datuk Mohamad Alamin mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan SK Pendam di Sadong Jaya, semalam. •Foto BERNAMA
SADONG JAYA: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperuntukkan kira-kira RM402 juta untuk pelaksanaan 59 projek naik taraf sekolah-sekolah daif di Sarawak bagi 2021.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, daripada 2019 hingga 2021 sebanyak 186 projek telah diluluskan kepada Sarawak melibatkan projek naik taraf dan pembinaan semula sekolah-sekolah daif dengan dana perbelanjaan mencecah angka RM1.5 bilion.
“Hari ini (semalam) saya telah mengadakan lawatan ke tiga Sekolah Rendah (SK) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Kuap, SK Sambir dan SK Pendam untuk melihat kemajuan projek pembinaan naik taraf sekolah daif di negeri ini dan secara amnya, saya amat berpuas hati dengan kemajuan pembinaan yang telah dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media setelah mengadakan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendam di sini, semalam.
Selain itu, Mohamad berharap agar projek yang masih dalam pembinaan juga berjalan dan dilaksanakan dalam keadaan yang baik dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR).
Tambahnya, kerajaan sentiasa komited memastikan projek-projek sekolah daif dilaksanakan dengan baik demi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat terutama berkaitan isu sekolah-sekolah daif.
“Kita mahu menyelesaikan masalah ini dan kerana itu saya memberitahu kontraktor supaya menyiapkan projek tepat pada masa. Ini merupakan usaha kita bersama-sama Kerajaan Sarawak dalam memastikan tahap pendidikan anak-anak di Sarawak berada dalam keadaan baik termasuk fizikal sekolah,” ujarnya.
Justeru itu, beliau turut menggesa semua syarikat yang telah dilantik dalam projek berkenaan supaya melaksanakan projek dan disiapkan mengikut jadual supaya sekolah dapat digunakan sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
Sementara itu, Mohamad mendedahkan kementeriannya ada menerima laporan kelewatan projek naik taraf sekolah daif disebabkan pandemik Covid-19 termasuk di Sarawak.
Malah katanya, kementerian beliau turut menerima aduan daripada syarikat yang lambat menerima bekalan bahan binaan daripada pembekal disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang dilaksanakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad mengatakan bahawa kementerian juga telah menerima banyak permintaan untuk pelaksanaan projek sekolah-sekolah daif di Sarawak dan ia akan dilaksanakan secara berterusan.
“Kita memahami bahawa jika bangunan itu digunakan dalam tempoh yang lama, ia juga akan mengalami kerosakan begitu juga dengan bangunan di sekolah-sekolah. Justeru pelaksanaan projek naik taraf sekolah daif ini akan sentiasa berterusan demi kebaikan bersama,” ujarnya.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr Norisah Suhaili.
|
|
|
|
|
|
|
|
Berita yang baik, semoga projek naik taraf tersebut dapat berjalan dengan lancar dan berintegriti |
|
|
|
|
|
|
|
harap nya begitu ...
semoga tak ada yang ambil kesempatan sebab ni melibatkan anak2 ... budak2 ...
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|