MIRI: Hospital Medan dibina perkarangan Hospital Miri selepas pembinaan yang sama di Kuching sebelum ini.
Hospital Medan Miri berkeluasan 525 meter (35m x 15m) terletak di ruang parkir Hospital Miri itu mampu menampung 66 pesakit COVID-19 iaitu 33 orang lelaki dan 33 orang wanita.
Malah, hospital sementara ini dikhususkan kepada pesakit COVID-19 kategori 3 dan kategori 4 sahaja.
Projek pembinaan Hospital Medan ini dijangka akan siap dalam tempoh seminggu dan akan diserahkan oleh Mercy Malaysia Sarawak Chapter kepada Hospital Miri dalam minggu ini.
Pengerusi Mercy Malaysia Sarawak Chapter Martin Jandom berkata, pihaknya melaksanakan projek ini berikutan terdapat permintaan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Hospital Miri.
”Pembinaan sebagai keperluaan ekoran Hospital Miri juga menghampiri kapasiti penuh pesakit Covid-19 dan terlalu padat.
“Kita membantu Hospital Miri membina satu lagi Hospital Medan di sini," katanya semalam.
Dalam perkembangan sama, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah melakukan tinjauan persiapan Hospital Medan semalam.
Menteri bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, keperluan pembinaan Hospital Medan Miri telah dipersetujui JKNS dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Penubuhan Hospital Medan yang diselaraskan oleh Mercy Malaysia Sarawak Chapter adalah bertujuan bagi membantu Hospital Miri mengurangkan kesesakan wad pesakit Covid-19 selain menampung keperluan Hospital Miri untuk menguruskan peningkatan bilangan pesakit Covid-19.