|
KUCHING, 6 Oktober: Sarawak akan mewujudkan taman-taman rekreasi yang mesra bagi golongan warga emas.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan peringkat negeri, taman-taman itu akan diwujudkan di Kemuyang, Sibu sementara di Kuching melibatkan Daru Hana dan Sungai Berdaun.
Katanya, mengikut statistik Jabatan Perangkaan, warga emas berusia lebih 60 tahun di negeri ini dijangka bertambah antara 15 hingga 20 peratus pada tahun 2030.
Ujarnya, pertambahan itu disebabkan faktor kesihatan dan keadaan sekeliling yang baik.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Ulang Tahun ke-10 Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) di Kuching hari ini.
Datuk Patinggi dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) di bawah Datuk Seri Fatimah Abdullah atas pencapaian yang memberangsangkan sepanjang 10 tahun lalu.
Katanya, dalam tempoh itu, kementerian berkenaan telah mengeluarkan dasar-dasar bagi membantu masyarakat di negeri ini antaranya, Kenyalang Gold Card, Endowment Fund Sarawak (EPS), Bantuan Ibu Bersalin (BTB) dan lain-lain.
|
|