|
Juadah berbuka istimewa buat suami
12-09-2007 11:19:32 AM
oleh WAHIDA ASRANI | Tidak ada apa yang menggembirakan penyanyi nombor satu negara ini tatkala menjelangnya Ramadhan esok.
Sejak bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohammad Jiwa atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk K, bulan puasa adalah masa yang memang ditunggu-tunggu olehnya tambahan pula tahun ini adalah kali kedua pasangan suami isteri romantik ini menjalani ibadah puasa bersama.
Justeru, ujar Datuk Siti Nurhaliza, sempena kedatangan Ramadhan kali ini, dia ingin memastikan seboleh mungkin dapat meluangkan masa berbuka puasa bersama suami tercinta dengan juadah berbuka yang disediakannya sendiri.
| Siti tidak sabar sambut puasa bersama suami (Foto The Star oleh Low Lay Phon) | "Tahun ini kalau boleh, saya nak masak sendiri juadah berbuka sekerap mungkin. Kalau beli pun, mungkin setakat kuih-muih dan ayam percik ke...Kebiasaannya, Datuk K suka makan sambal udang petai, ikan masin dan sambal belacan serta ulam-ulam.
"Lagipun bulan puasa ini saya akan sibuk dengan latihan untuk teater muzikal Remy...Kisah P.Ramlee.
"Latihan sudah bermula bulan lepas, tetapi waktu puasa ini nampaknya kena lebih kerap berlatih sebab hari pementasan pun sudah hampir.
"Tapi, bagi saya, sibuk macam mana pun nanti, saya ingin pastikan dapat luangkan masa masak apa yang mudah untuk suami dan berbuka bersama.
"Ibu mertua saya pun ada di KL dan dia pun memang suka jika dapat berbuka puasa ramai-ramai," ujar Siti yang ditemui pada pelancaran produk baru Olay Total Effects di Hotel Hilton, semalam.
Kata penyanyi berusia 28 tahun ini yang baru saja menyambut ulangtahun perkahwinannya yang pertama baru-baru ini, rutin puasanya juga tidak jauh berbeza dengan orang lain.
"Saya dan suami memang akan pastikan kami bersahur. Kalau tidak makan pun, kami akan minum saja.
"Tahun ini juga kalau boleh, saya ingin mengerjakan solat terawih kalau tiada sebarang aktiviti malam. Lagipun, sempena puasa ini, saya memang tidak mengambil sebarang show, melainkan untuk hadiri majlis-majlis tertentu dan latihan teater," kata Siti lagi.
Di dalam teater terbitan Enfiniti Productions yang bakal dipentaskan di Istana Budaya bermula 19 Oktober hingga 3 November depan, Siti dipilih untuk memegang watak Azizah, gadis yang dipuja oleh P.Ramlee.
Turut berlakon di dalam teater muzikal tersebut ialah Sean Ghazi, Liza Hanim, Melissa Saila dan Chedd Yusuf.
Album pop terbaru
| Siti akan hasilkan album terbaru tidak lama lagi (Foto The Star oleh Low Lay Phon) |
Penghujung tahun ini, penyanyi jelita ini dijangka akan melahirkan album terbarunya yang akan menampilkan konsep pop.
Buat masa ini, kata Siti, proses pemilihan lagu sedang dibuat dan antara komposer yang telah menyumbangkan lagu untuk diva tanahair ini ialah Yasin, komposer baru Fahmi dan penyanyi serta komposer terkenal dari Indonesia, Katon Bagaskara.
"Seperti biasa, saya tetap akan pilih komposer Malaysia dan Indonesia untuk album kali ini.
"Sekarang ini, masih lagi di dalam proses kumpulkan material dan jika tiada sebarang masalah akhir tahun ini akan release," ujarnya.
Dalam pada itu, Siti juga turut menyanyikan lagu tema filem terbaru arahan Shuhaimi Baba, 1957: Hati Malaya yang akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.
"Sebelum ini Shumi pernah minta saya nyanyikan lagu untuk filem-filemnya yang terdahulu, tetapi saya tidak berkesempatan.
"Nampaknya, kali ini saya berpeluang juga. Lagu Hati adalah nukilan oleh Shumi sendiri dan lagunya ciptaan Sharon Paul.
"Saya tersentuh sangat bila menonton sedutan filem tersebut sebab sebelum saya rakamkan suara di studio, saya ditunjukkan dulu beberapa sedutan filem itu. Sedih bila melihat orang perlu gadai harta benda untuk capai kemerdekaan.
"Saya memang berikan penghayatan yang penuh pada lagu itu lebih-lebih lagi selepas menonton sedutan filem tersebut," kata Siti lagi.
|
|
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|