|
Post Last Edit by bintang at 2-2-2011 12:47
HUJAN pasti turun. Angin dari selatan yang bertiup pada malam musim gugur itu terasa dingin, tidak lama lagi akan membawa bersama-sama kelembapan air laut. Ia akan bertiup melepasi padang yang gersang, mengusik puncak pokok yang gondol, dan akan mengaut awan hitam dari puncak gunung yang terasing. Dan kemudian, langit akan dibelah dengan kilat yang sambar-menyambar, diiringi dentuman guruh, hujan akan mencurah-curah turun sebagai rahmat daripada Tuhan.
Sebagai menggantikan dahan kering di pokok itu, akan tumbuh pula pucuk daun dan seluruh padang akan diselubungi kehijauan yang berlapis-lapis. Di bawah panas tengahari yang terik, seseorang akan dibasahi keringat tetapi bukan dek keletihan, kerana impian untuk mendapatkan hasil tuaian akan melanda diri seseorang bagai dilanda taufan yang hebat.
Keadaan bagaimana pun, berbeza pada tahun ini. Bulan Falgun (february) telah berlalu namun langit utara tidak sedikit pun menjadi suram. Chaitra (musim semi) juga akan berakhir. Sayup-sayup kedengaran bunyi guruh di langit dan keaadaan sekeliling menjadi rimas, tetapi hanya itulah sahaja yang berlaku.
Kemudian Baisakah (hari tahun baru) pula menyusul tiba. Namun langit masih terang-benderang, matahari terus memancar dengan teriknya. Pucut jut yang menjengah dari dada bumi dengan perlahan-lahan menjadi layu dan lesu. Langit terus cerah.
Di bumi pula, dari penjuru dunia hinggalah ke ufuk, keadaan menjadi kering-kontang. Jauh di sana terbentang bumi yang tandus gersang dibakar matahari, meninggalkan corak yang aneh. Seandainya seseorang berdiri di pinggir ladang, dia akan dilanda suatu perasaan yang ganjil. Ladang itu bagaikan suatu penantian yang menjelirkan lidahnya yang hangus kemerah-merahan. Ia akan memusnahkan benih di dadanya dengan penuh lahap. Tidak syak lagi bala akan turun tahun depan. Begitu menurut penduduk setempat.
Tapi mengapa? Tentu ada sesuatu di sebaliknya. Persoalan ini timbul dalam perbicangan selepas solat jumaat. Berdiri dekat mimbar, Maulana Mohiyuddin berkhutbah:
''Wahai saudara-saudaraku sekalian, aku hanyalah hamba Allah yang lemah. Aku tidak tahu apa yang hendak disampaikan kepada kalian. Kamu lebih mengetahuinya. Telah termaktub dalam al-Quran bahawa apabila dunia ini dipenuhi maksiat, maka Allah akan turunkan bala terhadap diri manusia. Nah, apa yang akan terjadi sekarang? Anak-anak tidak lagi taat kepada ibu-bapa, kaum wanita enggan memakai purdah, dan dunia ini penuh dengan pencuri, penipu dan penjahat. Manusia tidak mendirikan solat dan tidak berpuasa, serta tidak menunaikan fardhu haji. Saudara-saudaraku, marilah kita beramai-ramai menyembah-Nya dan memohon kudrat-Nya. Dialah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang dan dengan izin-Nya, Dia akan melimpahkan keampunan-Nya terhadap insan-Nya.''
Suara garau maulana itu berkumandang di dalam masjid. Haji Kalimullah bangkit daripada para jemaah. Dia memakai kopiah dan berjanggut putih sejemput. Dahinya bertanda dek terlalu banyak mengerjakan solat. Dia berdehem dan berkata, suaranya gementar dengan perasaan :
''Kita akan lakukan sepertimana yang dicadangkan oleh Maulana Saheb. Tetapi selain itu, setiap orang harus ingat bahawa orang yang telah melakukan kesalahan perlu dihukum. Pernahkah saudara sekelian terfikir mengapa kemarau ini menimpa diri kita? Dengan ikhlas saya katakan bahawa tentu ada kaum wanita yang sedang mengandung anak luar nikah. Wanita itu mungkin dari desa jiran. Malah dia mungkin penduduk desa kita. Kita perlu mencari orang yang telah melakukan padah ini. Kita usah bertolak ansur dengan mereka. Orang yang melakukan maksiat ini perlu disebat.''
Haji Kalimullah mengurut-ngurut janggutnya dengan tangan kanannya, dan dalam keadaan menggeletar dek marah, mengambil semula tempat duduknya. Hanya satu dibenaknya, pesalah itu harus dicari.
|
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by bintang at 2-2-2011 12:56
Kata sepakat dicapai untuk mengadakan solat berjemaah untuk memohon diturunkan hujan diadakan di padang bola dalam panas matahari terik. Tetapi Maulana Mohiyuddin jatuh sakit sehari sebelum upacara itu berlangsung.
Penduduk desa memohon agar Haji Kalimullah menjadi imam. Pada mulanya dia menolaknya dengan lembut tetapi kemudian atas desakan semua orang, dia bersetuju berbuat begitu.
Setelah solat selesai dikerjakan pada hari itu, Haji Kalimullah berpaling daripada menghadap kiblat dan berdiri mengadap ke timur pula, memerhatikan para jemaah yang ramai itu dengan tenang. Syukurlah dunia ini masih belum punah ranah. Malah sekarang pun, apabila azan dilaungkan, beribu-ribu umat akan mendirikan sembahyang menyembah Tuhan yang Maha Esa. Dia memandang puas ke arah beratus-ratus kopiah di kepala para jemaah di depannya. Apa salahnya jika kopiah itu lusuh, koyak dan kotor terkena minyak? Insan yang lemah ini duduk berkumpul di ladang yang terbuka itu dengan pipi yang cengkung, berdoa untuk dilimpahkan rahmat Tuhan.
Sambil menadah kedua-dua telapak tangannya, Haji Kalimullah berdoa dengan suara yang garau :
"Ya Allah, pandangilah kami, kasihanilah hamba-Mu ini. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan langit dan bumi, bulan dan bintang. Dengan kuasa-Mu laut akan bergelombang, angin akan bertiup. Dengan kudrat-Mu, bumi ini akan dipenuhi bungan dan tanaman. Ya Allah, berikanlah kami hujan, perlindungan, dan keamanan!''
"Allahhumma Amin! Allahumma Amin!" Seluruh jemaah mengaminkan. Janggut uban Haji Kalimullah basah kuyup terkena airmatanya. Dengan perasaan sebak dia mengakhiri doanya dengan kata-kata ini :
"Subhanakarabbika rabbil 'izzati anunayassefun assalam alal mursalin, alhamdulillahi Rabbi Alamin!"
Kanak-kanak, orang muda dan orang tua, mereka semua berkumpul seperti ini di padang selama tiga hari berturut-turut. Mereka berdoa, sebahagian tumpuan mereka pada langit dan sebahagian lagi pada tanaman mereka yang layu dan lesu. Kanak-kanak kecil, lelaki dan perempuan, menyapu cat hitam pada seorang anak tunggal, meletakkan alat mengangin, seekor katak dan ranting pokok bishkantali di atas kepalanya dan memohon agar hujan turun.
Mereka memasak kuih diperbuat daripada beras di tebing sungai dan menghidangkannya di atas daun pisang kepada fakir miskin. Mereka merenung langit setiap ketika hingga tengkuk mereka lenguh-lenguh, namun langit terus kekal berwarna biru. Gumpalan awan sedikit pun tidak kelihatan di mana-mana.
Sambil duduk di sejadahnya selepas menunaikan solat maghrib dan berzikir menggunakan tasbihnya, Haji Kalimullah duduk mengelamun. Kesan-kesan kelesuan dan kerisauan tergambar di matanya. Ada sebab mengapa dia jadi begitu. Dia telah memperolehi beberapa ribu rupee hasil berniaga yan di pasar gelap. Dia telah menggunakan setengah daripada wang itu untuk membeli sebuah gudang di pelabuhan sungai Meghna. Baki wang itu digunakan untuk membeli tanah seluas satu setengah ekar. Seandainya dia gagal membeli jut dan menyimpannya di dalam gudangnya sendiri, maka tiada gunalah dia membeli gudang tersebut.
Mendapat duit sewa bulanan sekadar seratus lima puluh rupee tidak memadai. Tapi nampaknya tahun ini dia tidak akan dapat menggunakan gudangnya untuk dirinya sendiri. Sudahlah begitu, dia juga telah mengerjakan tanahnya sendiri tahun ini. Ini merupakan tindakan yang bodoh. Seandainya dia memajak ladang itu, dia pasti memperolehi lebih kurang satu ribu lima ratus rupee. Buat masa ini dia sudah naik bosan mengerjakan ladangnya dan menyelia orang upahannya. Dia telah banyak menghabiskan wang membeli benih, membuat persiapan berladang dan bermacam-macam lagi. Masih banyak wang yang perlu dikeluarkan untuk masa depan. Tetapi daripada apa yang ketara, tidak mungkin tahun ini akan menghasilkan tanaman yang baik.
Sepatutnya dia tidak meninggalkan perniagaan yan. Tahun lepas dia menunaikan fardhu haji dengan menaiki kapal terbang. Dia berhasrat sekembalinya nanti dia tidak akan banyak melibatkan dirinya dalam hal duniawi. Dia akan mengamanahkan gudang itu kepada anak-anaknya dan hanya menjaga ladangnya sendiri. Tetapi dek kerana kesuntukan wang, semua rancangannya musnah. Dia menyedapkan hatinya dengan berkata urusan perniagaan tetap urusan perniagaan; tidak perlu dipersoalkan sama ada ia dilakukan secara jujur atau pun tidak. Tidak ada salahnya selagi seseorang itu berniat baik dan memberikan sedikit sumbangan sebagai amal jariah. |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by bintang at 2-2-2011 13:03
Bau harum bunga mangga menular masuk melalui jendela. Kicauan burung shalik (tiong) dari serumpun pokok buluh yang berhampiran jelas semakin berkurang. Biji-biji tasbih terlepas daripada jari-jari Haji Kalimullah dan kini fikirannya dengan perlahan-lahan menjadi kabur.
Zaigun memasuki kamar itu untuk menyalakan lampu dan terkejut mendapati Haji Kalimullah duduk di situ. Katanya, "Saya sangka tuan sudah pergi ke masjid."
Sambil mendongak ke arahnya, Haji Saheb berkata, "Aku kurang sihat." Tambahnya lagi, "Lagi pun cik puan kau akan balik bila-bila masa saja.." Haji Saheb kerana berhalangan, telah menyuruh anak ketiganya hasil perkongsian dengam isteri pertamanya untuk menjemput ibu tirinya.
Sebenarnya Haji Saheb berkeberatan untuk mengizinkan isteri-isterinya tinggal di rumah ibu bapa masing-masing untuk jangka masa yang panjang. Dia telah mengizinkan isteri pertamanya pulang hanya untuk sepuluh hari dan itu pun mula-mula dulu ketika dia baru berkahwin. Tempoh itu dilanjutkan dalam kes isteri keduanya. Tapi kini usianya telah lanjut dan dia semakin banyak mengalah. Apabila isterinya meninggal dua tahun dahulu dia mula tidak lagi mengambil berat tentang hal-hal duniawi. Tapi siapa yang dapat menduga perjalanan Allah? Segala yang ditakdirkan pasti akan berlaku. Tahun lepas apabila dia sedang membuat persiapan untuk ke Makkah, hanya sebulan sebelum keberangkatannya, semua orang menggesa dia berkahwin lagi, sekurang-kurangnya untuk kebahagiaan dan kesejahteraan keluarganya.
Tetapi bagaimana pula dengan bakal pengantin? Umurnya akan menjangkau enam puluh tahun, jadi siapalah yang sudi menyerahkan anak gadisnya kepadanya?
"Kau buat aku ketawa," Maju Pradhan terkekeh-kekeh sambil mengurut-urut janggutnya. "Cakap saja dan aku akan cari calonnya. Perempuan yang aku cari itu bukan sebarangan orang. Pasti kau akan kagum melihatnya."
Mata Haji Kalimullah bersinar dengan kegembiraan. Jantungnya berdenyut dengan suatu perasaan yang aneh. Namun dia berpura-pura sedih dan buat acuh tak acuh. Tidak manis dia begitu cepat melupakan arwah isterinya. Dia menelan air liurnya dan berkata :
"Aku dah tua dan tak ada masa nak berfoya-foya. Memadailah jika ada orang yang sudi menguruskan hal-hal dapur dan menjaga makan minumku."
"Aku faham," Maju Pradhan membantah, "Kita boleh berlayar dengan perahu yang rosak dan kita juga boleh berbuat begitu dengan perahu yang baru. Tapi apa yang kita sendiri mahu? Yang mana satu yang paling selesa untuk menyeberangi sungai?"
Selepas perbincangan ini isteri yang dicalonkan untuk ditukarkan dengan tanah seluas tujuh ekar tidak lain tidak bukan ialah cucu kepada Maju Pradhan. Usianya antara dua puluh satu tahun dengan dua puluh dua tahun. Kaum wanita di negeri ini dikatakan berumur apabila menjangkaui usia dua puluh tahun. Dari segi ini, perkahwinannya dengan Haji Saheb dianggap secocok.
Zaigun menyiapakan kerjanya di dapur dan muncul. Dengan wajah muram yang penuh bererti dia menarik sebuah bangku dan duduk berhampiran pintu. Haji Saheb masih menghafaz al-Quran. Dia berhenti buat seketika dan bertanya, "Ada apa-apa berita?"
"Ada," jawab Zaigun.
"Apa dia?" Jari-jari Haji Kalimullah berhenti membilang tasbih. Dia memandang Zaigun dengan tidak sabar-sabar lagi. Dia telah menggunakan Zaigun untuk mendapatkan maklumat sulit apabila perempuan itu selesai menjalankan tugas-tugasnya. Jadi itulah sebabnya mengapa dia tidak sabar-sabar lagi menunggu jawapan Zaigun. |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by bintang at 2-2-2011 13:07
Zaigun berkata ; "Saya berjumpa Batashi hari ini. Dia sedang memungut daun mangga untuk diberikan kepada kambingnya. Apabila dia melihat saya dia mula berbual tentang bermacam-macam perkara tapi saya asyik merenung susuk badannya."
Sambil merenung ke arah pintu dia menambah, "Perutnya nampak besar."
Dengan bersungguh-sungguh Haji Saheb bertanya, "Bila suaminya meninggal?"
"Tujuh atau lapan bulan yang lalu," kata Zaigun sambil mencongak dan menambah lagi, "Tapi nampaknya dia baru mengandung empat atau lima bulan yang lalu."
"Yakah? Jadi perbezaan masanya agak panjang." Mata Haji Kalimullah bersinar-sinar dengan harapan seolah-olah akhirnya dia terlihat cahaya kebenaran. Katanya dengan suara yang perlahan, "Kau nampak lelaki yang tinggal sebilik dengannya?"
"Ada. Dia semakin sihat, walaupun belum sembuh sepenuhnya. Dari tempat saya berdiri di pintu saya dapat melihat dia terbaring di atas katil di dalam bilik itu."
"Ya, ya," kata Haji Kalimullah dengan tidak sabar lagi. "Tapi apa salahnya kalau dia terbaring di katil? Bukankah seseorang masih boleh melakukannya walaupun terlantar sakit? Apa pendapatmu?"
"Benar cakap tuan," kata Zaigun, dan menambah, "Lagi pun saya tidak bersetuju dengan cara Batashi. Banyak orang bercakap tentangnya sejak Rajab Ali masih hidup lagi. Semua orang tahu tentang kisah di Chamu dari Namapara memasuki bilik Batashi: Chamu dipersalahkan hanya kerana Rajab Ali mendapat tahu tentang kejadian itu. Adakah seseorang lelaki berani berbuat begitu kalau tidak kerana mendapat galakan daripada seorang perempuan?"
"Kalau perkara ini benar semua akan menjadi mudah dan jelas. Aku percaya Batashi telah melakukannya. Kalau tidak kenapa hujan tidak turun?" Sekali lagi Haji Saheb berzikir. Seketika kemudian dia berkata lagi. "Ada baiknya kita bersabar dulu; biar aku sendiri selidik perkara ini. Kemudian sesuatu tindakan perlulah dibuat."
Haji Kalimullah khusyuk bertafakur setelah Zaigun berlalu dari situ. Kedut-kedut di dahinya semakin jelas kelihatan. Jari-jarinya semakin semakin cepat membilang tasbih. Batashi! Batashi! Batashi! Tidak ada orang lain kecuali Batashi yang tergamak melakukannya. Inilah padahnya menjadi janda muda. Bagaimanakah seorang perempuan, setelah menjalani hidup bersama-sama suaminya, dapat melupakan kenikmatan berumahtangga? Ia bagaikan madat. Manusia boleh hidup tanpa makan tapi tidak tanpa seks.
Lagi pun dia masih muda. Seorang dua lelaki tidak menjadi hal. Dengan hanya mengeyitkan matanya dia dapat menawan hati mana-mana jejaka. Dan dia begitu bijak mengaburi mata orang lain!. Kononnya sepupu, buruh kasar, yang diserang demam dan tidak mempunyai sesiapa untuk menjaganya. Alasan-alasan seperti itu tidak lagi dapat mengaburi mata orang ramai. Jelaslah lelaki itu diajak ke rumahnya kerana dia mahu berkongsi katil dengannya saban malam.
Tapi siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini, dan bagaimana? Menurut kitab, Batashi harus ditanam hingga ke paras tengkuknya dan kemudian direjam hingga mati. Tapi bolehkan perkara-perkara seperti itu dilakukan dewasa ini? Negeri ini mempunyai undang-undang dan pihak polis. Habis, apa yang harus dilakukan? Nak pukul dengan sepatu? Nak disingkirkan? Nak dihalau dari desa ini? |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by bintang at 2-2-2011 13:11
Semasa Haji Kalimullah sedang asyik melayan fikirannya, Khaled tiba bersama-sama ibu tiri barunya berhampiran sebatang sungai mati. Bulan mengambang telah lama menampakkan dirinya di langit sebelum mereka bertolak dari rumah pengantin. Kini ia berada di puncak rumpun bambu, bersinar dengan gemilangnya. Keadaan di sekeliling sunyi sepi. Tiada bayu yang mengusik dedaun di pohon.
Air sungai yang cetek itu hanya mencapai paras lutut. Dengan menolak lumpur pada kedua-dua belah tebing, suatu alur yang sempit menular masuk ke daratan. Melalui alur yang pasirnya putih bersih, mengalir air jernih dengan tenangnya. Anak-anak padi di sawah Boro yang terapung-apung di permukaan air berpaut mesra antara satu sama lain.
Zohra membongkok dan menanggalkan sepatunya dengan tangan kanannya. Dia mendukung seorang bayi. Melihat keadaannya yang menyusahkan itu, Khaled menghampirinya dari belakang dan berkata: "Biar saya dukung Saju."
Zohra dan Khaled hampir-hampir sebaya. Pada mulanya Khaled merasa agak canggung untuk memanggilnya Apani, suatu panggilan hormat untuk orang yang lebih tua, tapi kini dia tidak merasa begitu lagi.
Zohra memandang wajah anak sulung suaminya yang berkilauan dalam sinaran sang bulan. Matanya yang agak cantik di bawah alis yang lebat kelihatan lebih menarik. Dadanya berdebar-debar diselubungi suatu perasaan yang tidak dapat diluahkan, bagai sebuah sungai yang mengalir deras dalam rimba malam. Dengan gugup dia bertanya:
"Tidak menyusahkan awak, ke?"
Khaled tersenyum. Katanya, "Oh tidak, tentu tidak."
Ibu Saju meninggal dua tahun yang lalu. Ketika itu Saju berusia lima bulan. Dek dahaga belaian kasih sayang, dia asyik merengek dan menangis. Tapi kini dia telah berubah. Dia mula menyukai ibu tirinya yang baharu sehingga tidak mahu berenggang sesaat pun dengannya. Apabila Zohra bertolak ke rumah orang tuanya untuk kunjungan yang pertama selepas perkahwinannya, dia cepat-cepat minta didukung oleh ibu tirinya dan pergi bersama-samanya.
Semasa mengambil adik bongsunya yang sedang lena dalam pelukan ibu tirinya, Khaled terasa buat seketika, jari-jari tangan kirinya tersentuh sesuatu yang hangat dan lembut laksana dada seekor burung merpati. Jari-jarinya gementar bagaikan dedaun di pohon Champa ditiup bayu. Seluruh badannya tiba-tiba menggeletar umpama terkena halilintar dalam mendung hitam. Buat seketika dia melihat wanita itu malu tersipu-sipu. Wajahnya kemerah-merahan. Khaled tidak sanggup berdiri di situ lagi. |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by bintang at 2-2-2011 13:12
Bagaikan suatu kenangan zaman silam, suatu perasaan yang asing menyelubungi hatnya. Dia berpaling ke arah lain dan melangkah ke depan meraduk air yang mengalir dengan tenang.
Namun Zohra terus tercegat di situ. Sambil memungut pakaiannya dia menoleh ke arah bulan kemudian melempar pandangan ke arah lembaga di depan. Tiba-tiba dia menjadi resah. Seperti seekor kijang yang ketakutan, dia meredah anak sungai yang mengalir melalui pasir yang kilau-kemilau dan berhenti lagi di pinggir air yang mencapai aras lutut. Dia menyingsing kain sarinya di celah-celah pehanya dengan tangan kanannya dan menariknya hingga ke lutut. Sambil membongkok, dia melihat wajahnya berkecai-kecai menjadi beribu-rbu pecahan dalam air yang gelap bergemerlapan di sinar bulan itu. Dia menyaksikan setiap riak mengandungi gambaran bulan yang turut berkecai. Tiba-tiba dia mendongak dan memanggil;
"Khaled!"
Dari jauh Khaled menyahut, "Ya!"
"Kau nak tinggalkan aku?" Tanyannya bagai sedang bermimpi. "Aku tak boleh berjalan. Lihat betapa cantiknya air ini!"
Khaled berpatah balik. Katanya, "Apa kena dengan kau? Ayuh, jalanlah hari dah malam."
"Ya, betul cakapmu. Hari dah malam," kata Zohra. Dia berjalan beberapa langkah meranduk air dan kemudian tiba-tiba berhenti lagi. Sambil melihat ria-riak berkilauan itu dia berhenti berkata, "Lihat, alangkah cantiknya air ini! Aku tak keberatan mati dalam keadaan seperti ini."
Khaled hanya membisu. Dia tunduk dan terus berjalan tanpa berkata apa-apa. |
|
|
|
|
|
|
|
sket je...![](static/image/smiley/default/sad.gif) |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by bintang at 2-2-2011 13:36
Di sebelah tebing sana seekor burung berkicau: 'Bou katha kao' - bernyanyi di kejauhan. Setelah selamat menyeberangi sungai, Zohra mengeringkan kakinya dan mengenakan semula sepatu barunya. Namun hatinya tiba-tiba terasa sepi. Bagaikan bayu yang bertiup tanpa haluan, perasaan sayu menyelubungi dirinya Dia mengenangkan nasibnya dan tiba-tiba tersentak, kemudian seluruh tubuhnya menjadi lemas dan tidak bermaya.
Khaleed sedang mengatur langkah dengan perlahan-lahan. Dia terdengar suatu rayuan;
"Tolonglah berhenti sekejap!"
"Apa lagi?"
"Entahlah. Kenapa aku menitiskan airmata?" Zohra merapati Khaled dalam keaadaan gugup dan tercegat di depannya, sambil membeliakkan matanya. Dalam sinaran cahaya bulan, Khaled dapat menyaksikan airmatanya yang bercucuran umpama mutiara yang berguguran.
Khaled bertanya lagi, "Kenapa?"
"Kau tak tahu apa-apa. Kau tak mengerti." Sambil mengesat matanya dengan hujung kainnya, Zohra seperti dirasuk, berkata, "Berikan Saju kepadaku, tiada sesiapa di sini, jadi aku takut. Ayuh kita pergi dari sini."
Angin telah mula bertiup dengan agak kencang. Mereka berdua saling berdepan. Kini setelah berlalu dari situ tanpa berkata apa-apa, segumpal awan kelam mula berarak dari langit selatan.
Haji Kalimullah yang berterompah sedang mundar-mandir di kebunnya. Dia mendongak ke langit dan menjadi cemas. Nampaknya, tepat sekali tekaannya.
"Zaigun," dia memanggil, "Ayuh, lihat. Betul jangkaan kita. Awan sedang berkumpul."
Zaigun menjengah dari ambang pintu dan berkata, "Tuan masih juga mahu buktinya. Memang saya tak ragu-ragu lagi. Batashi memang perempuan sundal."
Haji Kalimullah mendongak melihat awan yang sedang berarak dan sekali lagi dia mundar-mandir. Dalam hal ini dia belum pasti apa tindakan yang harus diambil.
Zohra tiba setengah jam kemudian. Malah semasa berbual dengan isterinya di katil pun, fikiran Haji Kalimullah terus merayau-rayau. Malam semakin larut, Namun matanya tidak juga terasa mengantuk.
Besok paginya, setelah selesai membuat keputusan, Haji Kalimullah menuju ke rumah Batashi di sebelah sana kebun mangga di bahagian timur desa itu. Batashi sedang sibuk memasak bubur nasi di pondoknya yang beratap rumbia. Dia ternampak Haji Saheb dan keluar di perkarangan rumahnya dengan membawa sebuah bangku kayu. Dia tidak tahu bagaimana hendak melayan orang yang begitu disengani, yang jarang-jarang sakali mengunjungi orang sepertinya ini.
Dia cuba menyapa Haji Saheb, tetapi lelaki itu tidak mengendahkannya. Orang tua itu asyik memerhatikan tubuhnya yang lembut dan berkulit sawo matang dari sudut matanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by bintang at 2-2-2011 13:41
Di rumah Haji Saheb pula, selepas menyediakan sarapan, Zohra duduk termenung di sudut katil di dalam biliknya. Sejak berkahwin, inilah yang menjadi tempat kegemarannya. Semua masa terluangnya dihabiskan di sini. Apakah yang menjadi daya tarikannya? Apakah terdapat sesuatu misteri? Zohra sendiri tidak tahu jawapannya. Rumah itu mungkin telah banyak berubah dengan banyak cara, namun bilik ini terus kekal begini. Hanya beberapa perabut saja ditambah sepanjang masa ini. Sentuhan rasa isteri-isteri Haji Kalimullah yang lepas masih terasa di sana sini.
Zohra dapat mendengar bisikan mereka tatkala dia duduk di dalam bilik ini bersendirian dan dalam kegelapan. Lalu terlintas di fikirannya bahawa dia tidak berhak memasuki kamar ini, dia telah bertindak seperti seorang pencuri.
"Tapi haruskan aku dipersalahkan? Ini semua bukan atas kemahuan aku. Kata datukku, usah menangis. Bersabarlah setahun dua. Orang tua itu akan mati, kemudian hartanya akan kita bolot." Zohra merungut sendirian, "Pergi jahanam dengan hartanya!"
Hatinya membara, terasa pedih seperti pedihnya luka diusap bayu. Dia terasa lemas, dan pada suatu ketika, hampir-hampir menjerit. Mata hitamnya berpinar-pinar dengan suatu perasaan yang tidak terkawal.
Kepalanya berdenyut. Sambil menggoncang-goncangkan rambutnya yang tidak terurus, Zohra melangkah keluar. Tatkala dia mengangkat kelopak matanya, pandangannya tertumpu pada pokok mehndi (inai) di tepi perigi. Pokok itu hidup subur dengan tanah yang lembut dan lembab. Ranting-rantingnya sarat dengan pucuk daun.
Sudah berkali-kali dia berhajat untuk menebang pokok itu, namun tidak berkesempatan untuk berbuat begitu. Kali ini tangannya gatal-gatal. Dia segera masuk ke dapur, keluar membawa sebilah pisau yang tajam dan dengan geramnya mencantas satu demi satu ranting pokok itu.
Zaigun datang meluru, "Apa yang cik puan buat? Kenapa? Pokok ini dah tua dan banyak gunanya. Kalau tuan tahu tentu dia marah."
"Kau, diam. Aku lebih tahu dari kau siapa yang marah nanti. Kalau aku nak potong aku punya pasal lah!"
"Terpulanglah, saya hanya mencari rezeki sesuap nasi di sini," kata Zaigun. "Saya hanya mahu tolong cik puan."
"Pelik," Zohra memandangnya. "Kenapa beriya-iya benar nak tolong saya? Tak ada orang lainkah?"
Zaigun tidak lagi berani membangkitkan kemarahan isteri kesayangan tuannya. Dengan air muka yang keruh dia pergi menjalankan tugasnya.
Zohra tidak sedar bila pagi menjadi petang, bila senja tiba dan bila pula malam berlabuh. Terasa seolah-olah hatinya telah dihiris-hiris dengan sebilah pisau yang tajam berkilat. Perjalanan hidup saban hari langsung tidak meninggalkan sebarang kesan terhadap dirinya. Perasaannya terus membara, ibarat api dalam sekam. |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by bintang at 2-2-2011 13:47
Haji Kalimullah masuk tidur setelah menunaikan solat isyak dan berkata: "Batashi telah melakukan perbuatan yang terkutuk, sepertimana yang aku sangka."
"Bagaimana abang tahu?" Tanya Zohra.
Kata tuan Haji Kalimullah, "Kita tak perlu otak yang bijak untuk mengetahui hal-hal seperti ini. Tekaan aku kena pada sasarannya. Sekarang kita tak perlu bimbang lagi. Setelah hukuman dilaksanakan, hujan pasti akan turun." Seketika kemudian dia menambah lagi, "Aku akan bangkitkan perkara itu jumaat depan, setelah tengah malam. Kita lihat nanti apa yang akan terjadi."
Zohra diam dan melemparkan pandangan ke luar. Mengapakah bau harum putik-putik mangga begitu menawan? Mengapakah malam begitu gelap, begitu pekat? Alangkah baiknya kalau sang matahari tidak muncul-muncul lagi. Jika begitu dia dapat terus bersendirian di suatu tempat tanpa berteman.
Haji Kalimullah merasai sesuatu sentuhan lembut di dahinya dan dia tidak lama kemudian terus berdengkur. Kalau tidak kerana dengkuran itu, Zohra terasa seolah-olah sebujur mayat yang diselimuti sehelai kain putih dari dada hingga ke kaki terlantar di sisinya. Sambil menolak tangan suaminya yang berbulu, dia berbaring buat beberapa ketika lagi. Kemudian dengan perlahan-lahan dia bangkit dari katilnya dan dengan berhati-hati menguak daun pintu dan melangkah ke pekarangan rumahnya. Dia berdiri di bawah pokok mangga di suatu sudut.
Tatkala Khaled menyelinap masuk ke dalam rumah, Zohra bergerak pantas dan terpacak di depannya sambil bertanya dengan nada perlahan-lahan dan cermas, "Kemana kau menghilang seharian? Kau sengaja tak mahu makan, bukan?"
Khaled hanya diam membisu. Dia berdiri tercegat di situ. Tiba-tiba Zohra mengangkat tangan kanannya dan menempeleng pipi Khaled dengan kuat sambil menjerit:
"Aku tak sanggup menanggung penderitaan ini lagi. Tolong keluar dari rumah ini, demi Tuhan, tinggalkan aku sendirian!"
Sambil menutup mukanya dengan kain sarinya, dia berlari ke beranda, memasuki kamarnya dan mengunci pintunya.
Khaled masih tercegat di situ. Airmata bercucuran di pipinya. Dadanya terasa sebak. Dia telah meninggalkan rumah pagi tadi sebelum sesiapa sempat bangun. Dia pergi ke pinggir sungai dan berjalan tanpa tujuan di batas-batas sawah padi. Kemudian dia pergi ke pelabuhan, ke seberang sungai, di mana dua orang abangnya bekerja di sebuah stor. Namun, di sana juga dia tidak dapat mencari ketenangan. Akhirnya bagai didorong oleh suatu tarikan yang kuat, dia balik ke rumah semula. |
|
|
|
|
|
|
|
wahhh cam ade hubungan sulit je dlm umah hj.kalimullah sndri ntara isteri mudanye zohra dgn ank lakinye sndri, khaled ................ |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by bintang at 2-2-2011 13:50
Pada malam jumaat selepas tengah malam, setiap orang berkumpul di ruang tamu di rumah Maulana Mohiyuddin. Seluruh penduduk desa sudah tahu akan perkara tersebut, disebabkan khabar yang meniti dari mulut ke mulut. Tapi tidak semua orang layak menghakiminya. Malam ini hanya ketua-ketua dan alim ulama serta yang arif sahaja yang hadir dalam perjumpaan itu. Mereka menutup pintu dan jendela, memaksa yang dituduh duduk di tengah-tengah dan memulakan perbincangan.
Haji Kalimullah, setelah mengkaji dengan teliti segala kitab dan hadis selama tiga hari dan tiga malam, telah mencapai satu keputusan.
Batashi asyik merintih dan mengeluh. Kini dia meraung:
"Ooh.. Ibu, apakah ini semua sudah menjadi suratan hidupku? Kenapa ibu tidak bunuh saja aku semasa aku kecil!"
"Jangan menangis," Tuan Haji Kalimullah menjerit, "Pada masa itu kau hanya fikir tentang keseronokan, bukan?"
Maulana Mohiyuddin kelihatan sedang berfikir. Wajahnya yang tenang menjadi sayu dan pilu. Dengan perlahan dia mendongak mukanya dan bertanya dengan suara yang perlahan-lahan;
"Ada apa-apa yang kamu hendak memperkatakan?"
"Apa yang boleh saya perkatakan lagi, tuan?" Tuan tak akan percaya cakap seorang perempuan seperti saya ini. Kami bukan manusia, tapi ibarat kucing dan anjing di mata tuan. Apalah maruah yang ada pada diri kami...!"" Batashi mengesat airmatanya dan menambah, "Kalau tidak tak akan tuan sanggup menuduh saya yang bukan-bukan!!"
"Tapi tuduhan ini bukan tuduhan membabi buta!" Haji Kalimullah menjerkah dan bertanya, "Kenapa orang lain tidak dituduh?"
"Agaknya itulah suratan hidup saya. Kalau tidak kenapa tidak ada orang sedar sebelum ini bahawa semasa arwah suami saya masih hidup, saya kerap sakit, bahawa saya tidak boleh hidup tanpa makan buah asam dan pasir kering setiap hari?"
Sepupu Batashi, Rahimuddin, duduk di situ diselimuti kain yang kotor sambil mengerang kesakitan dari semasa ke semasa. Apabila disoal dia hanya memandang kosong dan diam membisu.
Semasa perbicaraan ini berlangsung, langit dikunjungi gumpalan-gumpalan yang hitam yang datang dari arah selatan. Bulan asyik dilindungi awan. Cahaya dan bayang-bayang kejar-mengejar di celah-celah pokok, rumah, dan sungai. |
|
|
|
|
|
|
|
adessss suspen nye....jgn la diorg silap mngadili batashi klu btul dia tak bsalah......sdg kan juliet dah trasa yg ahli kuarga tuan hj.kalimullah sndri yg tlh mlakukan onar...... |
|
|
|
|
|
|
|
zohra la tu buat hal...
sian dia kawin ngan org tua... |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by bintang at 2-2-2011 13:51
Tiba-tiba angin berhenti bertiup dan alam sekeliling seolah-olah berada dalam suatu penantian. Sesekali kedengaran bunyi guruh yang menggegarkan rumah dan serentak itu cahaya kilat memancar-mancar. Setiap orang di dalam bilik itu menjadi cemas.
Tepat pada ketika itu suatu lembaga manusia berdiri bagai bayang-bayang di bawah pokok mangga di belakang rumah Haji Saheb. Lembaga itu berjalan berjengket-jengket, merapati jendela dan menjengah ke dalam bilik yang gelap itu. Bagai sebuah bangunan puaka dalam hutan belantara, seisi rumah itu menanti penuh debaran.
Lembaga itu berlalu dari jendela, mara ke depan, menyelinap di dinding, melewati ruang dapur dan berhenti di pintu kamar tidur. Dengan setiap kilat yang memancar, dia kelihatan gementar ketakutan.
Tidak lama kemudian angin mula bertiup. Awan berlaga dan bergulung. Segala-galanya seolah-olah pecah berderai dan bergegar. Mungkin pintu kamar itu hanya ditutup dan tidak dikunci. Angin yang bertiup dengan tiba-tiba menguak daunnya dengan satu dentuman. Lelaki itu dengan langkah yang pantas menuju ke beranda, menoleh ke kiri dan ke kanan buat seketika, kemudian menerpa ke dalam kamar. Di langit, di bumi, dan di sekeliling, guruh berdentum dengan dahsyatnya. Dentuman demi dentuman berbunyi. Dengan setiap hembusan angin kencang, atap zink bergemerincing dan berhempas pulas. Dinding-dinding papan berkeriut dengan kuatnya.
Lelaki itu merapati katil, teragak-agak seketika, seolah-olah tidak tahu apa yang harus dilakukan seterusnya. Bulu roma badannya berdiri, jantungnya berdengup kencang, darahnya menyirap dan pandangannya menjadi kabur. Di manakah dia? Adakah ini kehidupan atau kematian? Adakah ini siksaan akibat mengaku kalah ataupun nikmat gabungan dua jasad? Dia memasang telinga dan terdengar gemerincing bunyi gelang tangan, bunyi nafas lembut dan geseran pakaian. Aduhai, mengapakah dia berada di sini? Dia tidak ingin perkara ini berlaku. Dia tidak rela ia terjadi. |
|
|
|
|
|
|
|
ingtkan n3nye yg pnjng bjela upanye smpai 3kali bintang post n3 yg sama ![](static/image/smiley/default/cry.gif) |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|