|
Enakmen ternak babi kuat kuasa Mac
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
[email protected]
IPOH 17 Dis. - Kerajaan negeri Perak akan menguatkuasakan enakmen dan kaedah-kaedah pengawalan penternakan babi pada Mac tahun depan bagi menjadikan industri babi lebih 'mesra alam' dan 'mesra awam'.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, peraturan tersebut dapat mengatasi semua masalah pencemaran berpunca daripada ladang babi yang sering dibangkitkan oleh orang ramai.
''Enakmen ini telah diluluskan pada 1992 manakala kaedah-kaedah pengawalan penternakan babi diluluskan pada tahun ini dan kita akan laksanakan peraturan ini pada tahun depan.
''Peraturan ini merupakan pendekatan secara menyeluruh dari pembukaan ladang hingga pengangkutan untuk mengurangkan pencemaran alam yang berpunca dari industri ternakan babi dan melindungi kepentingan awam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat dengan pengusaha-pengusaha ternakan babi negeri Perak di sini semalam.
Turut serta, Pengarah Jabatan Veterinar negeri, Dr. Quaza Nizamuddin Hassan.
Mengulas lanjut, Hang Soon berkata, semua 143 penternak babi di negeri ini akan diberikan masa secukupnya untuk mematuhi garis panduan di bawah enakmen dan kaedah tersebut sebelum tindakan diambil.
''Kita akan mengadakan banyak lagi siri perbincangan dengan penternak babi dan siri jelajah untuk memberi penjelasan supaya mereka benar-benar faham dengan peraturan baru ini.
''Setakat ini, matlamat kita ialah untuk menasihatkan mereka apa yang perlu dibuat manakala tindakan menutup ladang babi adalah pilihan terakhir jika mereka gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan," katanya.
Antara garis panduan dalam enakmen tersebut ialah penternakan babi perlu menggunakan sistem biosekuriti bagi menjamin kebersihan alam sekitar dan kesihatan orang awam.
Beliau berkata, dalam jangka masa panjang, peraturan tersebut dapat membantu industri babi di negeri ini untuk terus maju dan tidak terjejas akibat penyakit.
Katanya, penternakan babi merupakan industri yang penting kepada Perak kerana ia merupakan ternakan kedua terbesar dengan pengeluaran sebanyak 34.4 peratus selepas ayam.
Ditanya mengenai penerimaan penternak babi terhadap enakmen tersebut, Hang Soon berkata, kebanyakan mereka tidak mempunyai masalah untuk melabur bagi tujuan tersebut.
''Dalam perbincangan hari ini, mereka banyak membangkitkan mengenai nasib penternak babi yang menduduki tanah-tanah kerajaan secara haram dan kita akan adakan beberapa siri perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini," katanya. |
|