|
Kempen derma darah berjaya
IPOH 17 Dis. – Kempen derma darah anjuran Hospital Pantai Ipoh (HPI) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini berjaya mengumpul sebanyak 128 beg darah hasil sumbangan kakitangan kedua-dua organisasi tersebut.
Jumlah kutipan darah itu melebihi sasaran awal sebanyak 100 penderma.
Turut menderma ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.
Bercakap kepada pemberita, Hang Soon berkata, pihak berkuasa tempatan lain perlu mencontohi usaha yang dilakukan oleh MBI dan HPI ke arah menjalinkan kerjasama di kawasan masing-masing bagi menjayakan sesuatu program.
Katanya, dengan cara sedemikian, lebih ramai golongan masyarakat akan mengetahui mengenai kempen yang dijalankan oleh pihak-pihak terbabit.
‘‘Kempen derma darah ini adalah satu amalan baik yang harus digalakkan dalam kita melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing.
‘‘Saya harap program ini akan terus berjaya dan dilaksanakan secara berterusan agar kempen memenuhi tabung darah hospital tercapai,” katanya. |
|