Jika tahun lepas Abang Ramlee mendapat tempat kedua untuk anugerah melalui novel Hijab Sang Pencinta, tahun ini sekali lagi penulis kesayangan kita dicalonkan melalui novel Mikhail. Berikut adalah sinopsis novel Mikhail:
Saya rasa semua masih mengagumi watak Mikhail yang bertarung dengan konflik identiti diri nya sendiri. Mari sama-sama mengundi novel ini sebagai novel paling popular 2010. Ini adalah maklumat mengenai anugerah yang dipetik dari Berita Harian bertarikh 28 Jun 2010.
Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2010
Oleh Salbiah Ani
[email protected] 2010/06/28
POPULAR Book Co (M) Sdn Bhd (Popular) bersama-sama akhbar Berita Harian memberi peluang kepada pembaca untuk memilih pengarang pujaan mereka melalui Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2010 sempena BookFest @ Malaysia 2010.
Pengurus Pemasaran Popular, Alicia Goh berkata, anugerah untuk tahun ketiga berturut-turut dengan Berita Harian sebagai rakan kongsi pintar bagi Kategori Bahasa Melayu bersempena Bookfest@Malaysia 2010 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dari 4 sehingga 12 September ini.
“Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian tahun lalu mencatat pertambahan di luar jangkaan dan Popular berharap tahun ini ia akan mendapat sambutan lebih ramai daripada pembaca memandangkan ia sudah berlangsung selama tiga tahun berturut-turut,” katanya pada sesi perbincangan dengan Unit Sastera, Berita Harian, di Bilik Mesyuarat NSTP, baru-baru ini.
Sesi perbincangan itu turut membincangkan Bookfest@Malaysia 2010 dihadiri Pengarang Sastera, Berita Harian, Salbiah Ani; Konsultan Iklan Cetak NSTP, Mohd Fadzil Abd Ghani; Eksekutif Pengiklanan NSTP, Farah Eziana Shiron; Pengurus Perdagangan Popular, Chew Cheong Tat; Eksekutif Pemasaran Kanan Popular, Joey Siaw dan Eksekutif Kanan Perdagangan Popular, Azrina Azmi.
Goh berkata, pembaca yang berhasrat menyertai Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2010 perlu memilih pengarang pilihan mereka berdasarkan Kategori Cereka dan Bukan Cereka dengan masing-masing menyenaraikan 10 buku paling laris di pasaran bagi 2009.
“Mereka perlu menggunakan borang rasmi yang disediakan dalam Dunia Buku, Sastera, Berita Harian yang terbit setiap Jumaat dan mereka boleh menghantar seberapa banyak penyertaan, tetapi salinan fotokopi tidak dibenarkan. Penyertaan dibuka dari 2 Julai sehingga 30 Julai ini.
“Peserta juga boleh mendapatkan borang rasmi dari semua 64 cawangan Kedai Buku Popular di seluruh negara dan mereka juga dikenakan syarat serupa seperti peserta yang menggunakan Borang Rasmi dalam Dunia Buku, Sastera, Berita Harian,” katanya.
Sepuluh buku popular Kategori Cereka yang dipertandingkan pada anugerah kali ini ialah empat novel terbitan Alaf 21 iaitu Ilham Hati karya Damya Hana, Yang Sebenarnya (Aisya Sofea1), Sungguh Aku Cinta (Anis Ayuni), Mikhail (Ramlee Awang Murshid ) dan Cinta Kau Dan Aku (Alaf 21).
Tiga buku terbitan Kaki Novel yang turut tersenarai ialah Baju Pengantin Mak Andam oleh Areila, Selamat Pengantin Baru Isteriku (Nass Alina Noah) dan Biarlah YM Berbicara (Hanni Ramsul); dua novel terbitkan KarnaDya Solution Sdn Bhd ialah Matahariku karya Aina Emir dan Bila Dah Suka (Mimie Afinie) dan sebuah terbitan Buku Prima Bhd, Cinta Kau Dan Aku (Siti Rosmizah).
Sepuluh buku Kategori Bukan Cereka pula ialah Nak Jadi Jadi karya DR HM Tuah Iskandar terbitan Alaf 21, Bercinta Sampai Ke Syurga (Hasrizal Abd Jamil - Galeri Ilmu); Dengan NamaMu Aku Hidup: Asmaul Husna (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat - Kemilau); La Tahzan Jangan Bersedih Untuk Muslimah (Hawanis - Karisma); Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah (Zamri & Imran - PTS Publications and Distributors); Hulagu Khan: Khabar Hitam Dari Timur (Abdul Latip Talib - PTS); Mak Abah Rehailah Anakmu (Datuk Siti Nor Bahyah - Telaga Biru); Hamas Pejuang Kota Suci Baitulmaqaddis (Mazlee Malik - PTS); Rahsia Minda Hebat (Datuk Siti Nor Bahyah - Telaga Biru) dan Saya Pun Melayu (Zaid Ibrahim - ZI).
Johan anugerah akan menerima wang tunai RM1,500, kedua (RM1000), ketiga (RM500) dan semua pemenang akan diberi trofi, manakala 100 pembaca yang menjawab dengan tepat akan menerima baucer Popular bernilai RM50 dan keahlian selama setahun.
Tahun lalu, pendatang baru dunia penulisan, Siti Rosmizah Semail, muncul pilihan pertama Anugerah Buku Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2009 Kategori Fiksyen Bahasa Melayu, menerusi Andai Itu Takdirnya, sekali gus merangkul wang tunai RM 1,500.
Aisya Sofea muncul pilihan kedua pembaca dengan karya Selagi Ada Dia dan membawa pulang RM1,000 manakala tempat ketiga dirangkul Ramlee Awang Murshid yang mempertaruhkan novel Hijab Sang Pencinta.
Bagi Kategori Bukan Fiksyen, tempat pertama dimenangi Dr Tengku Asmadi menerusi buku motivasi, Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif dan kedua, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dengan buku Hadiah Untuk Muslimah. Ketiga, Datuk Dr Fadzilah Kamsah dan Muhammad Zakaria dengan bukunya, Langkah Bijak Usahawan Terbilang.
Jadi jangan lupakan dapatkan Berita Harian setiap Jumaat sepanjang bulan Julai ini untuk mendapatkan borang undian atau ke kedai buku Popular di seluruh Malaysia untuk dapatkan borang undian di sana. Undi novel Mikhail bersama dua novel pilihan anda. RAMFC memilih MIKHAIL!