KUCHING: Di sebalik pelbagai spekulasi yang beredar ketika ini tentang PRN-12 Sarawak, ada yang menyifatkan langkah melonggarkan prosedur operasi standard kemasukan ke negeri ini sebagai tanda pilihan raya akan diadakan dalam waktu terdekat.
Namun, bagi Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, itu bukan alasannya.
Langkah itu, kata Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, bukan gimik politik.
Sementara itu, ada yang meramalkan bahawa DUN akan dibubarkan pada akhir bulan ini. Tidak kurang juga yang menjangkakan bahawa PRN akan diadakan pada akhir November atau selewat-lewatnya awal Disember.
Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang dikenakan terhadap Sarawak yang menggantung pembubaran DUN itu.
Abdul Karim yang juga Adun Asajaya berkata, beliau tidak menganggap tindakan Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan bencana Negeri melonggarkan SOP itu dari sudut PRN.
“Kita tidak tahu bila PRN akan diadakan. Kalau kita sudah tahu bila tarikh pilihan raya, mungkin saya dapat mengulasnya,” jelas beliau kepada media dalam satu majlis di sini, semalam. “Tetapi setakat ini, kita belum tahu lagi kerana kita masih dalam tmepoh darurat,” jelasnya.
Darurat berkuat kuasa di Sarawak sehingga 2 Feb tahun depan.
Difahamkan SPR Negeri akan mengadakan latihan bagi petugas pilihan raya dalam waktu terdekat sementara parti politik sudah mengarahkan jentera di akar umbi supaya bergerak. Terdapat 82 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk direbut.
sarawakvoice.com/2021/10/18
|