Keluarga mangsa tiba di HUS selepas dimaklumkan mengenai insiden tersebut.
KUCHING: Seorang wanita nyaris maut akibat ditikam suaminya menggunakan objek tajam sehingga menyebabkan kecederaan parah pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa, 35 tahun, sebelum kejadian meminta izin keluar rumah keluarganya di Taman Desa Wira untuk berjumpa dengan suaminya di kawasan sebuah gereja di Jalan Batu Kawa.
Menurutnya, sekitar jam 7.30 malam, keluarga mamgsa telah mendapat panggilan telefon mengatakan mangsa cedera parah akibat ditikam dengan objek tajam.
"Mangsa ditemui orang awam di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Mangsa mengalami beberapa kesan tikaman di belakang badan, luka di kepala dan leher," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mangsa tidak lagi tinggal bersama dengan suaminya dan dalam proses penceraian.
Sehingga berita ini ditulis, difahamkan mangsa masih menerima rawatan di Unit Kecemasan HUS.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Suspek kini diburu polis.
Usaha mengesan suspek dikenali sebagai Aloysius Sinclair Eden (gambar),35, beralamatkan dari Kampung Singai Apar, Bau sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233 atau mana-mana balai polis berhampiran.
utusanborneo.com.my/2021/10/22
|