KOTA KINABALU: Pertandingan Filem Pendek China-Sabah kali ke-4 kembali lagi tahun ini dengan sejumlah RM35,000 hadiah tunai ditawarkan kepada penerbit filem amatur dan profesional yang dapat menonjolkan sebuah cerita menarik berkaitan kerjasama persahabatan di antara China dan Sabah.
Kandungan filem pendek ini tidak terhad hanya kepada usahasama China dan Sabah dalam memerangi COVID-19, tetapi turut merangkumi hubungan rapat antara rakyat Sabah dengan China atau memelihara budaya Cina di Sabah.
Filem ini juga boleh diterbitkan dalam apa juga bentuk genre dan tidak hanya terhad kepada dokumentari, drama dan animasi digital.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Konsul General China di Kota Kinabalu dengan kerjasama Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA).
Pertandingan terbuka kepada penduduk Sabah dari semua peringkat umur dan kewarganegaraan. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Januari 2022.
Menurut kenyataan penganjur, filem pendek ini boleh dihasilkan atau dirakam menggunakan telefon pintar, kamera, DV atau tablet.
IMBAS: Kod QR yang perlu diimbas oleh para peserta
Filem pendek yang dihantar haruslah tidak melebihi tempoh enam minit, termasuk babak kredit permulaan dan rakaman kredit pengakhiran.
Filem Pendek bolehlah dirakam menggunakan apa juga bahasa. Sari kata Bahasa Inggeris dan Mandarin perlulah disertakan sekiranya bahasa yang digunakan dalam filem berkenaan bukan Bahasa Mandarin.
Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Setiausaha KKJA Teo Jinn Jiun (016-8254889) atau Bendahari KKJA, Yvonne Ho (016-8111883) atau emel kepada [email protected].
utusanborneo.com.my/2021/10/25
|