Syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot Tigerair akan memulakan penerbangan secara terus Singapura-Miri-Singapura mulai pertengahan Januari, 2022.
MIRI: Bahagian utara Sarawak akan berhubung secara terus dengan Singapura, mulai tahun depan, apabila Scoot Tigerair Pte Ltd (SCOOT), memulakan penerbangan secara terus dua kali seminggu dari Miri ke Singapura.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata kementeriannya sudah menerima lampu hijau daripada Kementerian Pengangkutan, Malaysia dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk membenarkan SCOOT mengendalikan penerbangan dua kali seminggu itu.
Lee berkata SCOOT telah menulis kepada beliau pada 11 Oktober lalu, meminta kebenaran untuk memulakan perkhidmatan udara terus antara kedua-dua destinasi mulai pertengahan Januari 2022.
“Kerajaan Negeri Sarawak amat mengalu-alukan cadangan SCOOT membuat penerbangan secara terus antara Singapura dan Miri.
“Apatah lagi Miri adalah pintu masuk ke utara Sarawak dan salah satu destinasi pelancongan paling popular di negeri ini selain merupakan bandar kedua terbesar selepas Kuching, dengan populasi lebih 356,000 orang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata pada masa ini, syarikat penerbangan tambang murah Singapura itu mengendalikan penerbangan dari Singapura ke Kuching secara tiga kali seminggu. “Tepat pada masanya untuk SCOOT melebarkan operasinya ke bandar utama lain di Sarawak,” tambah Lee.
Beliau berkata jumlah pelawat dari Singapura ke Sarawak telah meningkat dari 38,743 pada 2010 kepada 46,812 orang pada 2019.
“Namun, berikutan kesan buruk pandemik COVID-19, jumlah pengunjung dari Singapura telah menurun kepada 7,363 orang pada 2020.
“Kami percaya bilangan pelawat dari Singapura ke Sarawak akan beransur-ansur kembali normal apabila keadaan pandemik COVID-19 bertambah baik dengan kadar vaksin di kalangan dewasa yang divaksin sepenuhnya melebihi 91 peratus,” katanya.
Lee berkata dengan adanya penerbangan SCOOT yang menghubungkan Singapura dan Miri, maka kakitangan Shell dari luar negara yang perlu berada di Miri akan dapat terbang terus melalui Singapura atau Kuala Lumpur.
”Shell Malaysia yang akan memindahkan ibu pejabat operasinya ke Miri dijangka menempatkan 2,000 kakitangannya di seluruh Malaysia ke sini, sekali gus menunjukkan keyakinan syarikat itu dengan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan di Malaysia terutamanya dalam sektor minyak dan gas,” jelas beliau lagi.
Lee berkata bahawa dengan kelulusan daripada rakan sejawatan di persekutuan, Kementerian Pengangkutan dan MAVCOM, kementeriannya telah menulis surat kepada SCOOT untuk menyerahkan fail aero atau penerbangan mereka kepada MAVCOM untuk proses selanjutnya.
“Sehubungan itu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan kerana bekerjasama dengan kami dalam usaha mendapatkan perkhidmatan udara yang lebih baik kepada pengiat perniagaan, pelawat dan pelancong ke Sarawak.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia, MAVCOM dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) atas sokongan penuh dan kelulusan yang diberikan kepada SCOOT untuk mengendalikan penerbangannya ke Miri,” tambah Lee.
utusanborneo.com.my/2021/11/02
|