
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berharap sekolah St Joseph akan terus berkhidmat kepada lebih banyak generasi rakyat Sarawak.
Katanya sekolah mubaligh itu diharap terus melahirkan lebih ramai lagi pemimpin hebat yang akan membawa negeri ini ke tahap kegemilangan baharu sehingga ke peringkat global.
“Saya percaya pendidikan seimbang yang disediakan di St Joseph telah membina karaktor yang cemerlang.
“Sebut sahaja beberapa nama yang terkenal, Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, allahyarham Tok Nan, allahyarham Datuk Polycarp Sim dan ramai lagi produk luar biasa Sekolah St. Joseph,” katanya.
Beliau menyatakan demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian pada Majlis Pelancaran Blok Mill Hill, SMK St Joseph di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari yang juga merupakan bekas pelajar St Joseph pada 1970, sekolah berkenaan termasuk sekolah-sekolah mubaligh lain di Sarawak adalah cerminan keupayaan masyarakat negeri ini untuk menghargai dan meraikan perbezaan.
“Itulah keindahan kita Sarawak dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk melindungi keunikan cara hidup ini sebagai rakyat Sarawak.
“Janganlah semua yang berlaku di luar Sarawak yang menimbulkan keresahan dan perpecahan dalam masyarakat menjadi punca untuk kita di Sarawak berpecah belah mengikut garisan agama dan kaum,” katanya.
Bangunan Blok Mill SMK St Joseph yang berusia 139 tahun kini berwajah baru, setelah dinaik taraf sejak 2019 oleh pelbagai pihak.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh pihak ‘Old Boys’ dan warga sekolah sendiri, antaranya ‘Save Mill Hill Fun Run’, jualan cenderamata untuk Mill Hill dan memohon sumbangan derma daripada kerajaan negeri serta pihak tertentu.
Kerajaan Sarawak telah menyumbangkan dana sebanyak RM4 juta manakala Kerajaan Persekutuan menyumbangkan dana sebanyak RM350,000.
Manakala hasil kutipan dana daripada pihak ‘Old Boys’ dan pihak lain adalah berjumlah lebih RM1.4 juta.
Keluasan tapak pembinaan Blok Mill Hill adalah kira-kira seluas 3,450 meter persegi, dengan kos membaik pulih keseluruhan Blok Mill Hill telah menelan perbelanjaan sebanyak RM5.7 juta.
Dari segi sejarah, Blok Mill Hill pertama kali dibina pada 1886 sebagai bangunan kayu dua tingkat.
Pada 1895, blok tersebut telah bertukar wajah menjadi sebuah bangunan bata tiga tingkat sekaligus dikatakan sebagai bangunan terbesar di Sarawak.
https://suarasarawak.my/2021/11/abg-jo-harap-st-joseph-terus-lahirkan-insan-luar-biasa/
|