RAMAI: Para peserta ketika pada acara ‘Flag Off’.
TAWAU: Tawau rekod penyertaan paling ramai dalam acara etika kayuhan dan keselamatan berbasikal yang diadakan di sini baru-baru ini.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Andi Suryady berkata, program berkenaan sangat releven kerana masyarakat perlu sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan riadah seperti berbasikal.
"Pengabaian kepada aspek keselamatan boleh menyebabkan kecederaan. Oleh sebab itu, pihak kementerian menganjurkan program seperti ini sebagai salah satu usaha memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Program berkenaan diadakan di Kompleks Sukan Tawau yang bermula seawal 6.30 pagi, para peserta program telah berkumpul di dataran Kompleks Sukan Tawau menanti ‘Flag Off’ dengan kayuhan sejauh 31.7 kilometer.
Jalan-jalan yang dilalui sepanjang kayuhan berkenaan adalah bermula di Kompleks Sukan Tawau, menuju ke Jalan Utara Baru, Jalan Tengku Osman, Jalan Kuhara, Jalan Sin Onn, Jalan Tiku, Jalan Apas, Jalan Sin On Tiku Batu 8, Kongsi 10 Jalan Tiku, Jalan Timur, Jalan Sg. Tanjong, Jalan Air panas, Jalan Muhibbahraya, Jalan Kuhara dan Kembali semula ke Kompleks Sukan.
Acara ‘Falf Off’ telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau Joseph Pang. Andi turut mengambil bahagian bersama-sama para peserta berjumlah 250 orang dari berbagai kelab dan persatuan berbasikal di daerah Tawau.
Acara cabutan bertuah turut menjadi selingan program yang menyediakan hadiah berbentuk peralatan sukan berbasikal dan hamper makanan.
utusanborneo.com.my/2021/11/04
|