Fikrry (dua kiri) dan Rahmat (dua kanan) diiringi polis semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.
Diveni dan Bobin masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.
KUCHING: Empat lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, selepas mengaku bersalah melarikan diri dari Penjara Puncak Borneo di sini pada 1 Julai lalu.
Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan hukuman penjara bagi tiga lelaki warga tempatan iaitu Diveni Bumby, 36, Bobin Bahan, 29, Mohamad Fikrry Azzarudin Abdullah, 26 dan seorang lelaki warga Indonesia, Rahmat Simbolan, 38 untuk dikuatkuasakan mulai hari ini (4 November 2021).
Berdasarkan pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa melarikan diri dari tahanan yang sah iaitu dari Pusat Transit Penerimaan (PTP), Penjara Puncak Borneo di sini pada 1 Julai lalu, jam lebih kurang 5.11 petang.
Difahamkan, PTP dikhaskan untuk menempatkan pesalah yang sedang menjalani tahanan reman penjara sementara menunggu tarikh bicara atau sebutan semula kes. Menurut keterangan kes, kesemua tertuduh melarikan diri melalui tingkap tandas di tempat kejadian dan menuju ke pagar utama PTP.
Tertuduh-tertuduh kemudian menuju ke pintu kedua kompleks penjara, sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran Pusat Latihan Polis Kuching di Jalan Puncak Borneo.
Dalam pada itu, difahamkan, ada antara tertuduh ditangkap susulan kes jenayah pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kes dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin sementara keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.
utusanborneo.com.my/2021/11/04
|