KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri didenda RM1,500 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah periuk, awal Oktober lalu.
Mohamad Sahnizam Musa, 25, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sebuah periuk aluminium milik Khairul Mat, 27, pada 13 Oktober lalu, jam 10 malam di kediaman mangsa terletak di Kampung Tabuan Melayu, Jalan Kampung Tabuan Hilir, di sini.
Berdasarkan keterangan kes, mangsa yang berada di Pasar Kubah Ria di sini pada hari kejadian melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di rumahnya menerusi telefon bimbit.
Hasil rakaman CCTV, mangsa mendapati tertuduh dilihat masuk ke kawasan rumahnya yang berpagar.
Setelah balik ke rumah, mangsa membuat pemeriksaan dan mendapati barangan seperti perkakas periuk, beberapa keping atap zink serta beberapa batang besi aluminium telah hilang dicuri.
Laporan polis dibuat sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh pada 1 November lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu hanya mengemukakan rayuan ringkas dengan memohon agar tidak dikenakan hukuman berat.
Menurut tertuduh juga, dia hanya membantu rakannya mengangkut barangan tersebut sahaja.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Tertuduh, Fendi, 30 dari Pontianak Utara Indonesia dan tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 20 September lalu, jam lebih kurang 12.48 tengah hari di sebuah rumah di Taman Stutong Indah, Tabuan Jaya di sini.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.
utusanborneo.com.my/2021/11/04
|