Kuala Terengganu: Dua lelaki mengambil kesempatan menguji kehebatan kenderaan masing-masing apabila berlumba sesama diri di Jalan Kuala Terengganu–Kuantan berhampiran kawasan loji penapisan minyak di Kerteh, semalam.
Bagaimanapun, tindakan dua suspek masing-masing berusia 27 tahun itu membawa padah apabila ditahan ketika memberhentikan kenderaan mereka di hadapan sebuah kedai di Paka, Dungun, jam 2.23 pagi.
Turut ditahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga penumpang kepada salah sebuah kenderaan berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Ismail Man berkata, Skuad 42 JSPT sebelum itu melakukan pemantauan di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan dua kenderaan jenis Honda Civic yang berlumba di lokasi kejadian kira-kira jam 1.45 pagi.
Beliau berkata, dua kenderaan yang dipandu dari Kerteh menghala ke Kuala Terengganu dikesan berlumba sesama sendiri sejauh satu kilometer tanpa menyedari tindakan mereka disedari Skuad 42 JSPT.
"Anggota bertindak mengekori dua kenderaan itu sebelum mereka ditahan untuk tindakan lanjut.
"Kesemua suspek bersama dua kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
"Bagi kesalahan itu, suspek berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000, jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ismail berkata, operasi berterusan akan dijalankan bagi membendung kesalahan trafik bukan sahaja membabitkan pengguna motosikal tetapi pengguna kenderaan lain yang dikesan melakukan kesalahan.
Katanya, tindakan sebegini bukan hanya membahayakan nyawa mereka tetapi pengguna yang lain selain turut mengganggu ketenteraman awam.