Gambar dikongsi pengguna media sosial menunjukkan pasukan paramedik dan polis sedang melakukan pemeriksaan ke atas mayat mangsa yang terbabit kemalangan.
MIRI: Seorang wanita dipercayai warga Indonesia maut selepas motosikal yang ditunggangnya secara melawan arus bertembung dengan sebuah pikap di jejambat Jalan Miri-Pujut berhampiran Tamu Muhibbah di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.
"Kemalangan terbabit berlaku sekitar jam 11 pagi melibatkan sebuah kenderaan pikap dari arah Luak hendak ke pusat bandar dan sebuah motosikal dari arah pusat bandar menghala ke Luak.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati punca kemalangan berlaku disebabkan oleh penunggang motosikal dipercayai cuai menunggang secara lawan arus sehingga menyebabkan motosikalnya bertembung dengan sebuah pikap yang datang dari arah hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
Alexson berkata kesan dari pertembungan tersebut menyebabkan penunggang motosikal itu terpelanting dan mengalami kecederaan teruk.
"Pihak ambulans mengesahkan penunggang motosikal tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.
"Sementara pemandu pikap, seorang lelaki berusia 33 tahun tidak mengalami kecederaan," ujarnya.
Susulan kejadian itu, mayat mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Miri untuk proses bedah siasat dan pihak polis sedang mengesan identiti serta waris si mati.
Alexson menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2021/11/10
|