KAPIT: Padah mudah percaya iklan di media sosial, seorang pelajar universiti menanggung kerugian berjumlah RM14,000 selepas ditipu sindiket jual beli barang dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian (gambar) berkata, kejadian itu berlaku semasa gadis berusia 20 tahun terbabit melayari laman Instagram pada 3 November lepas.
"Tertarik dengan iklan jualan iPad serendah RM350, mangsa tanpa curiga terus membuat bayaran namun diminta untuk membuat empat lagi transaksi bayaran tambahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa dikehendaki membuat empat lagi transaksi bayaran kononnya bagi tujuan pengaktifan kad pintar, surat perintah jalan serta bayaran penghapusan rekod jenayah.
"Mangsa yang menyedari dirinya telah ditipu oleh penjual tersebut kemudian hadir ke Balai Polis Kapit pada 8 November lalu untuk meminta kes disiasat dan tindakan selanjutnya," ujar beliau.
Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percayai dengan iklan-iklan jualan peranti elektronik mudah alih di laman sosial.
"Hubungi atau rujuk dengan balai polis yang berhampiran sekiranya inginkan kepastian mengenai sindiket penipuan dalam talian," katanya lagi.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
utusanborneo.com.my/2021/11/10
|