RUNTUH: Keadaan jalan yang runtuh di lokasi kejadian akibat hujan lebat berterusan.
KENINGAU: Hujan lebat berterusan pada petang semalam mengakibatkan laluan di Kilometer 117 Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom Kampung Liau dekat sini runtuh.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah Ali Ahmad Hamid berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 8 malam membabitkan laluan sekitar 30 meter.
Katanya, semua jenis kenderaan tidak dapat melalui jalan berkenaan dan jalan alternatif yang boleh digunakan adalah Jalan Ranggom Kepayan-Magatang.
"Kegagalan pembentung sementara (culvert) disebabkan hujan lebat berterusan mengakibatkan laluan utama terputus dan merbahaya untuk pengguna di jalan ini.
"Bagaimanapun, dalam kejadian itu tiada kemalangan jiwa atau kenderaan terlibat dilaporkan," katanya kepada Utusan Borneo ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, buat masa ini, kerja-kerja penyeliaan lencongan sementara sedang giat dijalankan.
Menurutnya, pihak konsesi memulakan kerja dan masih menunggu maklum balas kerja untuk kelulusan JKR.
utusanborneo.com.my/2021/11/10
|