TAHANAN: Gambar wajah tujuh tahanan yang melarikan diri dan kini diburu polis.
PAPAR: Operasi memburu tujuh tahanan lelaki yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) di sini giat dijalankan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, gerakan memburu kesemua tahanan terbabit dilancarkan sejak awal pagi tadi.
Menurutnya, seramai 14 tahanan bertindak melarikan diri kira-kira jam 3.30 pagi tadi dengan merosakkan bumbung tandas sebelum memotong pagar pusat tahanan terbabit.
Katanya, seramai tujuh tahanan berjaya ditahan semula setakat jam 10.30 pagi manakala, tujuh lagi masih bebas.
"Operasi berkenaan turut dibantu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), unit anjing pengesan K9 dan Pasukan Polis Marin (PPM).
"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati semua tahanan yang melarikan diri berusia dalam lingkungan 22 hingga 43 tahun dan tinggal di blok tengah DTI berkenaan.
"Kesemua mereka memanjat bumbung setinggi hampir dua meter sebelum memotong pagar dan melarikan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sini hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, pihaknya memohon kerjasama daripada orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat untuk menangkap tujuh tahanan yang masih bebas.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan bilik gerakan IPD Papar di talian 088-916064 atau balai polis berhampiran untuk tindakan segera," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/10
|