SUMBANGAN: Hajiji (dua kiri) dan Mohd. Arifin (tengah) menyaksikan penyerahan Sumbangan Kumpulan Wang Amal Jariah (KWAJ) Korporat daripada Mustakip (dua kanan) kepada Omar (kiri).
KOTA KINABALU: Beberapa kawasan tumpuan di negeri ini bakal dibangunkan menjadi bandar pintar (smart city) yang dipacu oleh pelan strategik Kerajaan Digital.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pembangunan bandar-bandar pintar itu bagi mewujudkan eko-sistem ekonomi dan pembudayaan digital.
Katanya, usaha itu bagi meningkatkan kualiti hidup yang akan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Beliau berkata, ia adalah selaras dengan teras ketiga Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.
"Strategi yang digariskan di bawah teras ini meliputi usaha membina dan menambah baik jaringan infrastruktur darat, laut, udara dan infrastruktur komunikasi.
"Selain itu melaksanakan pendigitalan perkhidmatan, serta meningkatkan akses dan kesamarataan dalam menikmati kemudahan infrastruktur," katanya.
Hajiji berkata demikian ketika melancarkan Aplikasi E-Jariah Sabah di Dewan Bankuasi Utama Menara Kinabalu di sini hari ini.
Menurutnya, seiring dengan pembudayaan digital, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) melakar sejarah baharu dengan membangunkan aplikasi PBNS yang pertama dikenali sebagai E-Jariah Sabah menerusi kerjasama dengan TM One iaitu cabang perniagaan Telekom Malaysia Berhad.
Beliau berkata, aplikasi berkenaan akan memudahkan orang ramai termasuk mereka yang bekerja sama ada dalam sektor kerajaan, swasta, syarikat atau perseorangan, membuat sumbangan jariah atau sedekah hanya melalui telefon pintar.
"Ia bukan sahaja mudah dan pantas, malah lebih selamat tanpa perlu bersemuka, dalam keadaan pandemik ketika ini.
"Kerajaan negeri berbesar hati dengan komitmen PBNS yang mempelbagaikan aktiviti kutipan sumbangan mereka melalui kaedah yang mudah dan bersesuaian dengan peredaran terkini.
"Saya percaya dengan adanya aplikasi ini, ia memudahkan orang Islam secara keseluruhannya terutama yang bekerja menggunakan kaedah ini dengan membuat potongan gaji secara bulanan dan mengikut kemampuan masing–masing kepada PBNS," jelasnya.
Hajiji berkata, usaha itu secara tidak langsung akan dapat membantu pihak PBNS melaksanakan aktiviti agihan yang akan memberikan manfaat kepada golongan sasar dan memerlukan di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau berharap orang awam dapat memanfaatkan aplikasi E-Jariah dengan sepenuhnya kerana ia akan memudahkan orang ramai untuk membuat sumbangan walau di mana sahaja berada.
Menurutnya, penggunaan teknologi digital begitu meluas pada hari ini dan secara tidak langsung mengubah cara hidup masyarakat.
"Penularan pandemik COVID-19 menuntut kita untuk hidup dalam norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sekali gus penggunaan aplikasi digital menjadi alternatif baharu dalam memenuhi keperluan seharian.
"Peranan dan penggunaan teknologi digital turut mengambil alih dan membantu menyelesaikan urusan seharian kita dengan selamat, mudah dan pantas dengan menggunakan pelbagai aplikasi yang dibangunkan pada hari ini, yang boleh diakses hanya melalui telefon mudah alih dan peranti elektronik yang lain," katanya.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Pengerusi PBNS Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar; Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah Felix Liangson; dan Pengurus Felda Cawangan Kota Kinabalu Mustakip Lieasni.
utusanborneo.com.my/2021/11/11
|