Jonas keluar dari kamar mahkamah selesai prosiding kes.
KUCHING: Seorang lelaki warganegara Nigeria terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini menerima rayuannya serta memerintahkannya supaya dibebaskan dan dilepaskan dari tuduhan mengedar 158.30 gram syabu pada 2016.
Jonas Chihurumnanya, 34, menarik nafas lega setelah mendengar keputusan sebulat suara panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh bersama Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Abdul Rahman Sebli menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Dalam penghakiman mereka, panel tiga hakim tersebut bersetuju bahawa berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh pihak perayu dan pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam menyimpulkan perayu (Jonas) mempunyai pemilikan 'mens rea'.
Ia berikutan keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence) tidak menunjukkan perayu mempunyai pengetahuan tentang dadah yang didakwa berada dalam but kereta Kancil dipandunya.
Mengulas lanjut mengenai ketiadaan pengetahuan, panel tiga hakim berkata unsur pemilikan seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang tidak ditubuhkan oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah juga katanya, memutuskan bahawa terdapat penyalaharahan serius oleh hakim terdahulu apabila beliau menggunakan kedua-dua anggapan statutori di bawah Seksyen 37(d) (da) (xvi) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan pada masa yang sama, bergantung kepada Seksyen 2 ADB untuk membuktikan unsur pengedaran.
Justeru katanya, Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa dan sabitan dan hukuman gantung sampai mati sebelum ini adalah tidak selamat. “Mahkamah menerima rayuan perayu hari ini dan mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Rendah.
“Sehubungan itu, perayu dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan tersebut,” ujar panel tiga hakim sebulat suara menerima rayuan tertuduh.
Jonas yang dipercayai merupakan pegawai perhubungan untuk pelajar Nigeria di sini melakukan perbuatan terbabit di sebuah tempat letak kereta di Tabuan Jaya, Jalan Canna di sini, 7 Jun 2016, jam 12.05 tengah malam.
Terdahulu pada 30 Januari 2018, Jonas didapati bersalah mengedar dadah berkenaan dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuching setelah dia gagal menimbulkan keraguan munasabah berhubung kes itu.
Jonas menerusi peguamnya membuat rayuan terhadap sabitan hukuman tersebut namun Mahkamah Rayuan pada 23 Oktober 2019 menolak rayuannya, sekaligus mengekalkan hukuman gantung sampai mati berkenaan.
Jonas sekali lagi mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan dan seterusnya terlepas hukuman gantung sampai mati berkenaan selepas mahkamah pada hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan terbabit.
Menurut fakta kes, Jonas memandu ke sebuah stesen minyak pada tengah malam dan kemudian pergi ke sebuah restoran rantaian makanan segera sebelum ditangkap oleh polis.
Polis menemukan dadah dibalut dengan lampin dewasa di belakang kereta Kancil yang dipandunya.
Sementara itu, rakannya, Ifasinachi Dominic Oguzie yang sedang menunggu di tempat terbabit juga ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.
Namun, rakannya yang didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu melarikan diri semasa perbicaraan dijalankan.
Rakannya kemudian gagal dikesan sehingga kini.
Perayu diwakili peguam, Satinder Singh Sandhu, Muhammad Izayyeem Azim dan Lim Vui Seng manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling.
utusanborneo.com.my/2021/11/11
|