[size=0.8]Zatul Iffah Zolkiply - November 12, 2021 @ 8:54am[email protected]
Bahagian enjin Perodua MyVi remuk akibat kemalangan mengorbankan murid Tahun 4 dan seorang lelaki, semalam. FOTO IHSAN PDRM
SETIU: Seorang murid Tahun 4 antara dua mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah basikal elektrik di Jalan Bukit Putera di sini, semalam.
Mangsa yang maut adalah Muhammad Adif Danial Azman, 10, dan pejalan kaki, Azuka Muhamad, 46, selepas dirempuh Perodua MyVi dalam kejadian jam 7.20 malam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua MyVi dipandu lelaki berusia 36 tahun dari Telaga Papan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
"Akibatnya, kenderaan terbabit melanggar basikal elektrik dinaiki Muhammad Adif Danial dan sepupunya, Ahmad Syahiran Saiful Razali, 13.
"Kereta Perodua MyVi itu turut melanggar sebuah Proton Wira di bahu jalan sehingga sebelum melanggar seorang pejalan kaki (Azuka) .
"Kejadian itu menyebabkan mangsa terpelanting ke atas sebuah kereta jenis Proton Persona di bahu jalan," katanya, hari ini.
Ketika kejadian, Muhammad Adif Danial dan Ahmad Syahiran dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit Putera selepas menyaksikan pertandingan bola sepak berhampiran rumah mereka.
Afandi berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah dirawat di hospital sama.
Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Keadaan basikal elektrik dinaiki Muhammad Adif Danial dan sepupunya, Ahmad Syahiran selepas dirempuh Perodua MyVi dipandu seorang lelaki di Jalan Bukit Putera. FOTO IHSAN PDRM